01 April 2010

HARI TANPA FACEBOOK

SUDAH hampir satu minggu aku tidak melayari laman web sesawang, facebook di pejabat. Semuanya gara-gara tindakan unit teknologi maklumat menyekat komputer kami daripada melayari laman web sosial itu.

Menurut pekeliling yang diedarkan, kami hanya boleh melayari laman web sosial itu pada waktu tertentu kerana pada masa itu laluan akan dibuka kepada semua pekerja. Bagaimanapun, sehingga hari ini, janji hanya tinggal janji.

Nasib baik aku bukan dalam golongan 'ketagih' untuk melayari laman web ini. Jadi aku tak kisah sangat. Ada pun tak apa, tak ada pun tak apa. Tetapi aku akui, ada sedikit kekurangan apabila terlalu lama tak menjengah laman web itu.

Aku mula 'rindu' untuk berbual dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang selama ini menjadi tempat aku berkongsi cerita.

Sekadar gambar hiasan

Aku tak tahu apa tujuan sebenar mereka menyekat kami daripada melayari laman web yang semakin popular di seluruh dunia ini. Kadang-kadang aku pelik jugak. Dalam zaman 'dunia tanpa sempadan' hari ini, masih ada orang yang berfikiran 'zaman batu'.

Katanya, keputusan melarang pekerja daripada melayari laman web itu bertujuan untuk 'menghukum' mereka yang lalai ketika membuat kerja. Katanya, pekerja yang melayari laman web ini tidak produktif dan hasil kerja mereka tidak baik. Betul ke?

Orang lain semuanya bergerak ke hadapan tetapi syarikat aku bekerja ini pelik sikit, mereka 'syok sendiri' berundur ke belakang. Dulu sebelum ada fb, kami berhubung melalui yahoo messenger tetapi hayatnya tak lama kerana ia juga menerima nasib yang sama seperti fb.

Mungkin pihak atasan mahu semua pekerja memberi tumpuan pada kerja masing-masing atau menjadi seperti 'katak di bawah tempurung'. Entahlah. Tapi apa yang pasti, aku merasakan tindakan ini hanya sia-sia kerana lepas ini mungkin ada saluran baru untuk pekerja bersosial.

Manusia semakin bijak. Lepas ini entah apa laman web sosial yang akan muncul. Tunggu dan lihat.