20 May 2010

THE BLACK PEARL

ENAM tahun lalu, ada sebuah kapal lanun yang aktif menjalankan aktiviti harian mereka di samudera yang luas, dikenali sebagai The Black Pearl.

Kapal yang menjadi rebutan antara Kapten Jack Sparrow dan Kapten Barbossa dalam filem Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl

Ketika itu, kapal ini dikemudi seorang kapten yang lantang dan berkarisma iaitu Jack Sparrow sambil dibantu penolong kapten, Barbossa dan beberapa anak kapal yang teruja untuk menjalankan tugas masing-masing.

Meskipun baru beroperasi, kapal ini cukup digeruni pesaing dan pencabar mereka. Namun beberapa tahun kemudian, kapten Jack Sparro telah diserang sakit jantung dan terpaksa melepaskan tugas itu kepada penolongnya, Barbossa.

Oleh kerana, anak-anak kapal masih baru dan belum begitu mahir untuk mengendalikan kapal tersebut, pihak atasan telah melantik orang luar untuk menjadi penolong kepada kapten Barbossa. Pada masa yang sama, salah seorang daripada anak kapal turut dilantik menjadi pegawai atasan untuk membantu meringankan beban kedua-dua pemimpin itu.

The Pirate Ship

Pada mulanya hubungan kapten Barbossa dan penolongnya agak baik meskipun ada perbezaan pendapat yang ketara. Namun tidak beberapa lama kemudian, ‘permusuhan’ antara kapten Barbossa dan penolongnya menjadi semakin ketara dan tidak lagi dapat dikawal kerana masing-masing ada pendapat dan pendirian yang tersendiri.

Pihak atasan dapat menghidu masalah itu dan satu-satunya jalan terbaik untuk menyelamatkan kapal tersebut adalah dengan menyingkirkan penolong kapten itu. Sebagai gantinya, pegawai atasan kapal tersebut telah dinaikkan pangkat untuk menjadi penolong kepada kapten Barbossa dan seorang anak kapal lagi dilantik menjadi pegawai atasan.

Ternyata, pelantikan ini memberi impak yang besar apabila kapal tersebut kembali digeruni pencabar mereka. Dalam tempoh tersebut, beberapa anak kapal saling bertukar ganti, sama ada berhenti atau ditukarkan ke kapal lain. Begitupun, langit tidak selalunya cerah. Kapten Barbossa, penolong kapten dan pegawai atasan tersebut mula tidak sehaluan, sekali gus menyebabkan kapal tersebut kembali bergolak.

Penolong kapten dan pegawai atasan tersebut menuduh kapten Barbossa tidak menjalankan tugas dengan baik dan seringkali menjadikan mereka sebagai mangsa untuk melepaskan diri sendiri. Ekoran daripada kejadian itu, pegawai atasan tersebut telah merajuk dan membawa diri dengan meninggalkan kapal itu manakala penolong kapten masih berada di kapal itu meskipun tidak sehaluan dengan kapten Barbossa.

Untuk mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan pegawai atasan tersebut, pihak atasan telah memanggil pulang salah seorang anak kapal yang sebelum ini menjadi mangsa konspirasi dan dihalau dari kapal itu setahun yang lalu.

Malangnya, kepulangan anak kapal itu tidak kena pada masanya. Dia pulang ketika kapten Barbossa dan penolong kapten dilanda perang ‘dingin’ yang menenggelamkan misi dan visi kapal tersebut. Selain keliru dengan bidang tugasnya, pegawai tersebut juga tidak tahu siapa yang perlu diikutnya - kapten Barbossa atau penolong kapten yang juga sahabat baiknya.

Selepas beberapa bulan berada di atas kapal tersebut, pegawai kapal itu masih lagi ‘blur’ dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Ditambah pula dengan sikap anak-anak kapal yang tidak tahu bidang tugas masing-masing. Kapal itu sudah tidak ada hala tuju dan masing-masing mementingkan serta berusaha menyelamatkan diri sendiri.
    

19 May 2010

RENTAP FUTSAL PUTRAJAYA KOSMO!

INDAH khabar dari rupa. Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan mengenai Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! yang berlangsung di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya pada 14 hingga 16 Mei lalu.

Sebenarnya, aku tidak menyalahkan kejohanan futsal terbesar itu tetapi aku terkilan dengan sikap pihak pengurusan Kosmo! yang aku dianggap tidak profesional.

Dalam tempoh kurang daripada satu bulan, kami berjaya menganjurkan kejohanan futsal sempena sambutan Hari Belia Negara itu meskipun terpaksa bersengkang biji mata untuk menyiapkan senarai pasukan dan jadual perlawanan.

Pada hari-hari terakhir sebelum kejohanan berlangsung, beberapa orang staf unit sukan Komso! tidak cukup tidur kerana terpaksa melayan kerenah big boss. Bayangkan, kami terpaksa menaip semula nama setiap pasukan (lebih 1,000 pasukan) mengikut kategori.

Logo Rentap Futsal Putrajaya Kosmo!

Begitupun segala kerja keras kami seolah-olah sia-sia apabila pihak pengurusan Kosmo! langsung tidak  menghargainya. Selain perasaan penat, aku langsung tidak mempunyai apa-apa yang boleh dijadikan kenangan.

Usahkan sehelai baju-T atau cenderahati yang lain, pihak pengurusan Kosmo! juga langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada kami.

Malah rakan-rakan aku yang ditugaskan ke lokasi kejohanan menerima nasib yang lebih buruk apabila kebajikan mereka tidak dijaga.

Menurut cerita rakan-rakan aku, mereka tidak diberi layanan yang baik dan segala janji-janji yang ditabur sebelum kejohanan itu tidak ditunaikan.

Lebih buruk, mereka terpaksa mengutip kupon makanan yang cicir di merata-rata tempat untuk menggalas perut. Katanya, umpama pengemis......
 

07 May 2010

LESEN JUDI PIALA DUNIA 2010

KUALA LUMPUR (6 Mei 2010)  – Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Piala Dunia 2010 akan berlangsung di Afrika Selatan, Jun ini 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

“Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

“Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Awang Adek mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

PENDAPAT:

 * Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata, meskipun lesen itu bertujuan mengelakkan aktiviti pertaruhan haram di negara ini, namun kegiatan melalui lesen tersebut juga adalah haram.

* Pendakwah bebas, Md. Daud Che' Ngah berkata, tiada istilah judi haram atau judi halal dalam Islam kerana semua perkara yang melibatkan judi adalah haram.
      

02 May 2010

NYAMUK AEDES DAN HARI BURUH

30 April - 2 Mei 2010
GARA-GARA seekor nyamuk aedes, aku terpaksa menghabiskan cuti umum Hari Buruh 2010 di wad Hospital Pakar Seremban (KPJ). Pakej percutian 3 hari 2 malam itu adalah sesuatu yang tidak pernah aku rancang.

Tetapi apakan daya, Allah lebih mengetahui dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu. Begitupun, aku masih bersyukur kerana demam denggi yang menyerang aku ini tidak begitu serius.

Kalau diberi pilihan, aku tidak mungkin memilih untuk ‘menikmati’ percutian yang menyakitkan ini. Selain suhu badan yang sentiasa berubah (sekejap sejuk dan sekejap panas), kepala rasa pening, loya (ingin muntah) dan seluruh anggota badan serta sendi-sendi terasa sakit yang amat sangat.

Adakah nyamuk aedes ini yang menghisap darah aku?

Tak pasal-pasal Jabatan Kesihatan menghantar anggota 'Ghost Busters' untuk mengesan dan menghapuskan jentik-jentik serta nyamuk aedes di kawasan perumahan aku.

Semalam, aku terlepas dua perkara penting untuk disaksikan. Yang pertamanya, semalam merupakan hari pertama kedua-dua puteri aku mengikuti latihan renang di Seremban 2.

Selepas beberapa tahun mereka ‘memujuk’ aku untuk menghantarnya mengikuti sesi latihan renang, akhirnya aku memenuhi permintaan mereka selepas berjumpa dengan sebuah kelab renang yang tidak kurang hebatnya. Apa sekali pun, aku berpuas hati kerana kedua-dua puteri aku gembira dan teruja untuk mengikuti sesi latihan renang itu.

Yang keduanya, semalam juga merupakan hari Alumni wife aku bersama pensyarah dan member-member semasa belajar di German-Malaysian Institut (GMI) lalu. Dia terpaksa menghadiri makan malam yang di adakan di Restoran Tupai-Tupai, Kuala Lumpur itu seorang diri. Kesian….

Bagaimanapun, apa yang menarik, ini adalah kali kedua aku memenangi ‘pakej percutian 3 hari 2 malam’ di hospital yang sama dalam tempoh lima bulan tahun ini. Awal bulan Mac lalu, aku menjalani pembedahan kecil di muka untuk membuang bisul yang tumbuh secara tiba-tiba.

Sedikit sebanyak, kedua-dua penyakit ini telah menjejaskan reputasi aku sebagai seorang pekerja yang jarang mengambil MC. Tahun lalu (sepanjang setahun bertugas di Terengganu) aku tidak pernah mengambil MC meskipun kadang-kala mengalami demam dan migrain.

Tetapi, baru lima bulan aku kembali bertugas di KL, sudah dua aku kali ambil MC dan dimasukkan ke wad. Begitupun, ini bukan kehendak aku. Kesabaran aku diuji dan mungkin ujian ini ada hikmahnya. Insyaalah.