30 June 2010

KEJUTAN PIALA DUNIA 2010

EMPAT pasukan pilihan gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Selain bekas naib juara, Perancis dan juara bertahan, Itali yang terkandas pada saingan peringkat kumpulan, England serta Portugal turut dikejutkan dengan kekalahan pada pusingan kedua.

Dua wakil Asia, Korea Selatan dan Jepun juga gagal melayakkan diri ke suku akhir meskipun mempamerkan aksi yang mengkagumkan pada saingan peringkat kumpulan.

Kekalahan Itali cukup mengecewakan. Meskipun skuad bimbingan Marcello Lippi ini dibarisi ramai pemain berstatus bintang, mereka gagal beraksi dengan baik.

Malah skuad The Azzurri ini dilihat terlalu sukar untuk menampilkan aksi yang mantap. Daripada tiga perlawanan yang diharungi, Itali hanya seri dua kali dan tewas sekali.

Itali menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan F di belakang Paraguay, Slovakia dan New Zealand.

Begitupun nasib Perancis lebih malang. Skuad bimbingan Raymond Domenech ini hanya mampu mengutip satu mata untuk menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan A.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Uruguay pada perlawanan pertama, skuad Les Blues diaibkan dengan kekalahan 0-2 kepada Mexico dan 1-2 dengan tuan rumah, Afrika Selatan.

Paling mengejutkan, Perancis dikaitkan dengan krisis dalaman yang membabitkan pemain dan jurulatih.

Tindakan Domenech menghantar pulang Nicolas Anelka yang membuat kritikan pedas di media telah menyebabkan beberapa pemain senior enggan menjalani latihan menjelang aksi terakhir menentang Afrika Selatan.

Manakala England yang tewas 1-4 kepada Jerman sekali lagi menyalahkan pengadil di atas kekalahan itu.

Skuad The Three Lions ini mendakwa keputusan pengadil dan penjaga garisan menafikan jaringan pemain tengah, Frank Lampard yang dilihat sudah melepasi garisan gol menjadi punca kepada kekalahan itu.

Bagi Portugal pula, kekalahan 0-1 kepada Sepanyol mungkin disebabkan oleh ketumpulan jentera serangan yang diketuai oleh Cristiano Ronaldo.

Ronaldo tidak berupaya untuk membantu Portugal menjadi juara dunia.

Pada aksi suku akhir yang akan bermula Sabtu ini (3 Julai 2010), dua lagi pasukan pilihan pasti pulang awal, sekali gus mengikut jejak langkah Itali, Perancis, England dan Portugal.

Selain Jerman yang akan bertemu Argentina, Brazil turut berdepan misi sukar apabila dijadualkan menentang Belanda.

Manakala Sepanyol diramal berdepan laluan mudah apabila menentang Paraguay dan satu lagi aksi suku akhir bakal menampilkan pertemuan antara Uruguay dan Ghana.   

17 June 2010

PERMULAAN YANG HAMBAR

SEMUA 32 pasukan telah menamatkan perlawanan pertama peringkat kumpulan pada pusingan akhir Piala Dunia 2010.

Begitupun sepanjang 16 perlawanan yang telah berlangsung, kempen kali ini masih bergelut untuk  mencapai statusnya sebagai kejohanan berprestij di muka bumi  ini.

Setakat ini, kualiti persembahan permainan masih lagi dianggap sederhana dan kurang menghiburkan. Kelibat Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo, Fernando Torres  dan Kaka lebih dibayangi oleh kehebatan cerita mengenai  kebingitan vuvuzela yang kedengaran setiap kali perlawanan  berlangsung.


Meskipun Brazil berjaya menewaskan Korea Utara 2-1, debaran saingan  Piala Dunia yang penuh klasik masih belum dirasai.

Kejutan paling besar berlaku apabila juara Eropah, Sepanyol tewas 0-1 kepada Switzerland, sekali gus menenggelamkan kehebatan Jerman menewaskan Australia.

Perkara utama yang paling dibimbangi pastinya jumlah gol  yang agak sedikit dijaringkan setakat ini.

Selain kemenangan besar 4-0 Jerman ke atas Australia,  tiada pasukan lain berjaya menjaringkan lebih dua gol  manakala banyak perlawanan berakhir dengan seri 1-1 dan 0-0.

Menurut statistik yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak  Antarabangsa (FIFA), tiada satu pun pasukan yang berjaya  melakukan lebih daripada 10 percubaan tepat pada aksi per tama mereka.

Kebanyakan pemain pula menyalahkan bola rasmi kejohanan,  Jabulani buatan Adidas dengan penjaga gol Brazil, Julio Cesar  menganggap kualiti bola itu sama seperti bola yang dibeli di  pasar raya. Kenyataan Cesar turut disokong Iker Casillas (Sepanyol) dan Gianluigi Buffon (Itali).

Selain itu, turut mendapat kritikan ialah keadaan padang  yang dianggap menyebabkan permainan berlangsung dengan  begitu laju sekali gus menghalang pemain mempamerkan aksi  normal mereka.

Jurulatih Itali, Marcello Lippi berkata, jangan tertipu dengan kecantikan padang yang pada pandangan kasar ia sebenarnya cukup licin dan menyebabkan  pemain sukar mengawal bola. Lippi merujuk padang di Stadium Green Point, Cape Town.

Namun masih banyak perlawanan lagi yang bakal berlangsung selepas ini dan diharap ia dapat menyemarakkan lagi saingan Piala  Dunia 2010.

10 June 2010

DIA KAN BOS

BEBERAPA hari lalu, aku ada berbual dengan sahabat lama aku yang bekerja di syarikat media lain menerusi laman web sesawang, Facebook. Pada mulanya, perbualan kami hanya berkisar kepada aktiviti harian.

Begitupun, selepas beberapa minit berbual, sahabat aku itu ingin meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Katanya, dia cukup tidak berkenan dengan sikap seorang sahabatnya yang berkerja di syarikat media yang lain. Individu tersebut boleh dikatakan berpangkat ‘bos’ lah juga.


Aku tanya dia adakah aku kenal individu itu? Katanya, lebih dari kenal. Jadi, aku pun berminat lah nak dengar luahan hati sahabat aku itu.

Katanya, sahabat dia tu macam ‘talam dua muka’. Depan cakap lain, belakang cakap lain. Individu tersebut rajin turun padang untuk cover sesuatu tugasan. Masa di lapangan, dia cukup peramah dan ‘mesra alam’.

Begitupun apabila balik ke pejabat, individu tersebut seolah-olah merungut dan memberitahu dia adalah bos dan tidak sepatutnya turun padang. Dia sepatutnya duduk pejabat dan mengarahkan orang lain untuk cover tugasan itu.

Sikap ‘berlagak’ individu tersebut telah menyebabkan pekerja bawahan dia bekerja dalam situasi tertekan dan tidak selesa.

Jadi, aku cakap dekat sahabat aku itu, dia kan bos. Selaku bos, dia mestilah ada ciri-ciri untuk menjadi pemimpin. Sahabat aku cakap, dulu masa bekerja dengan bos lama, masalah macam ini tak pernah timbul pun.

Katanya, bos lama dulu ok jer. Pegi cover tugasan luar juga tapi tak pernah pun berlagak seperti bos. Pekerja bawahan dia pun senang untuk bekerjasama. Jadi, aku tak boleh cakap apa lah.

Mungkin ada betulnya juga cakap dia. Tetapi aku malas nak masuk campur. Bagi aku, itu adalah masalah dia dan orang-orang yang terbabit. Aku sekadar menjadi pendengar yang setia.

Aku cuma berdoa, moga perkara tersebut tidak berlaku di tempat kerja aku.
   

09 June 2010

FAM TAK ADA DUIT

IMPIAN aku untuk melihat kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid yang dibimbing jurulatih baru, Jose Mourinho beraksi menentang skuad kebangsaan Malaysia bimbingan K. Rajagobal di Kuala Lumpur tidak kesampaian.

Ini kerana perlawanan sempena jelajah Real ke Asia terpaksa dibatalkan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menanggung kos perlawanan tersebut yang dikatakan agak tinggi.

Football Asia selaku ejen tempatan kelab tersebut memberitahu, pertemuan dengan FAM bagi membincangkan projek itu telah berlangsung Jumaat lalu.

Sebelum itu, FAM terlebih diberitahu tentang syarat serta jumlah bayaran perlawanan.

“Kos untuk menganjurkan perlawanan ini dianggap sebagai di luar kemampuan kewangan pihak FAM.

“Dengan tempoh waktu yang suntuk untuk mendapatkan wang tajaan sama ada daripada sektor awam atau swasta, FAM dengan berat hati terpaksa menolak peluang untuk mengan jurkan perlawanan tersebut,” kata kenyataan Football Asia semalam.

Pada 26 Mei lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu, pihaknya baru saja menerima pelawaan awal daripada sebuah syarikat penganjuran acara sukan dari Singapura untuk mengadakan perlawanan menentang Real di Kuala Lumpur.

Wajah kecewa penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas   

Mengikut perancangan, Real sepatutnya berada di ibu negara antara 14 hingga 21 Ogos depan tetapi dengan perkembangan terbaru semalam, maka tiadalah kelibat Cristiano Ronaldo, Kaka, Gonzalo Higuain, Xabi Alonso, Iker Casillas atau Raul di Kuala Lumpur.
           

02 June 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

PETANG tadi, semasa aku sampai di tempat kerja, aku singgah di gerai makan di hadapan tempat kerja aku. Niat aku nak makan tengah hari. Pada masa itu, aku lihat ada salah seorang big boss aku turut berada di gerai itu. Aku buat tak nampak jer.

Bagaimanapun sebaik sahaja dia nampak aku, dia terus panggil aku dan ajak aku duduk semeja dengan dia. Aku rasa pelik dengan sikap dia. Pada mulanya aku keberatan untuk memenuhi permintaan itu tetapi demi menjaga hati dia, aku memaksa diri makan berdua dengan dia. Aku juga tak mahu dia menganggap aku ‘biadap’ sebab tak sudi makan dengan dia. Dia boss manakala aku kuli jer.

Dalam hati aku berkata, mesti ada sesuatu yang dia inginkan daripada aku kerana selama ini aku tidak pernah makan berdua dengan dia. Kiranya, hari ini dalam sejarahlah sebab aku dapat makan semeja dengan dia selepas hampir enam tahun bekerja di syarikat ini.

Sebelum aku meneruskan cerita ini, aku ingin ucapkan terima kasih kepada big boss aku itu sebab belanja aku makan tengah hari tadi.

Aku menjadi mangsa individu yang ingin mencungkil rahsia di sebalik kejadian yang berlaku

Ramalan aku benar belaka. Belum sempat aku menjamah bihun sup yang dipesan, big boss itu sudah melemparkan soalan cepu emas kepada aku. Dia cuba untuk mengorek rahsia daripada aku. Dia tanya, apa sebenarnya yang berlaku di atas kapal The Black Pearl aku.

Tapi prinsip aku tidaklah semurah teh o suam dan bihun sup yang aku makan. Aku mengambil sikap untuk berdiam diri meskipun aku lihat ada raut kecewa di wajah big boss itu. Katanya, dia tak percaya kalau aku cakap aku tak tahu apa-apa.

Aku cakap dengan dia, big boss sepatutnya lebih tahu daripada aku dan apa yang dia dengar serta nampak, itulah sebenarnya yang berlaku. Dia tidak puas hati dengan jawapan yang aku bagi itu.

Sepanjang tempoh aku makan semeja dengan dia itu, aku sungguh tertekan dan aku merasakan diri aku seolah-olah diasak ke dinding sambil diacukan pistol di kepala aku. Bertubi-tubi soalan diajukan kepada aku sampai bihun sup yang aku makan itu macam tak sedap jer.

Yang aku tak puas hati, soalan mengenai kehidupan peribadi kapten kapal aku turut ditanya. Ada ke patut dia tanya aku, kapten kapal aku tu ada girlfriend ke tidak.

Aku percepatkan makan dengan harapan dapat keluar dari gerai itu seberapa segera yang boleh.

Katanya, dia tahu apa sebenarnya yang berlaku di atas kapal aku selama ini. Sudah lama dia sedar dan pantau isu ini . Dia tahu siapa sebenarnya yang bersalah. Kini masalah itu hanya menunggu masa untuk diselesaikan.

Daripada kata-kata yang tuturkan, aku dapat membayangkan yang aku bakal mendapat seorang kapten baru. Tetapi entahlah sebab kata-kata big boss ini susah sikit aku nak percaya. Dia ni suka buat-buat macam profesor serba tahu meskipun hakikat sebenarnya dia tak tahu apa-apa pun. Aku guna pendekatan, dengar boleh, percaya jangan.

Jadi, kita tunggu dan lihat apa pulak yang berlaku selepas ini.
  

01 June 2010

SEKADAR RENUNGAN

AKU tinggalkan seketika kapal The Black Pearl yang sedang menghadapi krisis kepimpinan itu. Aku percaya, dalam tempoh terdekat pasti ada 'tangan ajaib' yang akan menyelamatkan kapal itu daripada tenggelam. Setakat ini pun sudah ada pelakon-pelakon handalan yang berhasrat untuk memegang watak hero dalam cerita itu.

Kali ini aku ingin berkongsi pengalaman atau 'kisah benar' yang aku alami sepanjang setahun bertugas di sebuah negeri di Pantai Timur tahun lalu. Ia sekadar renungan dan tidak ada kaitan dengan mana-mana individu.

* Sekadar gambar hiasan

Sebaik melapor diri untuk bertugas di persisir pantai Laut China Selatan itu, aku berusaha menyesuaikan diri dan mencari rakan baru yang boleh memberi tunjuk ajar serta membantu aktiviti harian aku.

Oleh kerana aku orang baru, aku terpaksa bekerja pada hari Jumaat iaitu hari cuti umum di negeri itu. Oleh kerana tidak banyak kerja yang perlu dilaksanakan, aku telah pergi bersarapan pagi bersama seorang staf 'veteran' di syarikat itu. Banyak perkara yang kami bincangkan sepanjang tempoh itu.

Begitupun, topik perbualan kami lebih banyak berkisar kepada rasa tidak puas hati staf veteran itu yang dikatakan sering menjadi mangsa bos dan salah seorang pekerja di syarikat itu.

Mungkin dia selesa dengan aku, pada hari-hari seterusnya kami sering keluar bersama. Aku selalu temankan dia bersarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, pergi bank dan ke kedai buku.

Paling aku tidak dapat lupa apabila dia kata: "Suatu hari nanti kalau aku jadi bos, aku akan kerjakan pekerja-pekerja yang selama ini telah menyusahkan hidup aku."

Aku layan aje sebab staf veteran ini baik hati dan pemurah. Setiap kali kami ke kedai makan, dia marah kalau aku bayar bil. Jadi, aku selalulah makan free.

Dipendekkan cerita, enam bulan kemudian staf veteran ini telah dinaikkan pangkat menjadi bos untuk menggantikan bos di syarikat itu yang dipanggil pulang ke Kuala Lumpur. Aku langsung tidak menduga perkara ini akan berlaku. Ia berlaku secara kebetulan.

Maka bermulalah episod cantas mencantas di syarikat itu kerana bos baru ini ingin membalas dendam ke atas pekerja-pekerja lain yang selama ini memandang rendah kemampuan dan langsung tidak menghormati termasuk penolongnya.

Aku bernasib baik. Oleh kerana kami menjalin hubungan yang baik, aku terlepas daripada menjadi mangsa dendam bos baru ini. Begitupun, aku mula menjadi 'musuh' kepada rakan-rakan termasuk dari syarikat yang lain. Macam-macam mereka tuduh aku tapi aku tidak kisah kerana aku tidak pernah mengambil kesempatan dan berniat jahat. Ada orang kata aku kroni bos baru. Talam dua muka dan macam-macam lagi sehingga ada yang takut untuk berkawan dengan aku. Aku tak kisah.

Namun permusuhan bos baru ini dengan penolongnya sedikit sebanyak memberi kesan kepada aku kerana bidang tugas aku di bawah kawalan penolongnya itu. Malah, setiap pergerakan dan apa yang ingin aku lakukan perlu mendapat kebenaran daripada penolong bos itu.

Jadi, aku terpaksa mengambil sikap 'tunggu dan lihat', menjaga kedua-dua hati ini dan tidak melaga-lagakan kedua-dua pemimpin ini. Aku perlu menjalin hubungan yang baik dengan kedua-dua pemimpin ini meskipun hakikatnya mereka langsung tidak boleh duduk semeja.

Kata mereka, permusuhan ini telah lama tersemat dalam hati masing-masing dan ia tidak mungkin dapat diselamatkan lagi.

Permusuhan kedua-dua pemimpin ini sampai ke klimaknya apabila bos baru ini menuduh penolongnya cuba menipu syarikat. Dengan sekelip mata, perkara ini hangat diperkatakan bukan sahaja di seluruh negeri itu tetapi sampai ke pihak atasan syarikat di Kuala Lumpur.

Sampai ke hari ini, hubungan kedua-dua pemimpin ini masih tidak baik dan mereka tidak mungkin dapat memaafkan antara satu sama lain.

Aku terpaksa melalui saat-saat yang getir ini selama enam bulan sebelum aku dipanggil pulang ke Kuala Lumpur bersama-sama dengan penolong bos itu. Hubungan aku dengan penolong bos tetap baik dan begitu juga dengan bos baru itu.

Aku balik ke Kuala Lumpur dengan harapan yang cukup besar untuk tidak lagi terbabit dalam dalam konflik kepimpinan ini. Tapi malangnya....

Dulu masa aku bekerja di Affin-ACF Finance (sekarang Affin Bank Berhad) aku juga pernah merasai pengalaman bertugas bersama watak-watak antagonis ini. Sepanjang 11 tahun bertugas di syarikat kewangan berlesen itu, aku telah bekerja di bawah kendalian beberapa bos yang majoritinya mempunyai musuh yang tersendiri.

* Moral of The Stori - Kita tidak boleh lari daripada masalah. Kemana sekalipun kita pergi, kita tetap akan berdepan dengan masalah. Jangan fikir, kalau kita berhijrah, masalah itu akan selesai. Adalah lebih baik sekiranya kita cuba menyelesaikan masalah itu dengan cara yang berhemah.