27 September 2010

SUKA DALAM DUKA

 BEBERAPA hari lagi, aku akan menjejakkan kaki ke bumi India.

Bukan untuk melancong tetapi melaksanakan tugas pada temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi. Banyak perkara yang bermain di kotak fikiran aku ketika ini.

Bukan tugas yang menjadi bebanan tetapi persekitaran di bumi New Delhi itu yang meletakkan aku dalam situasi kebimbangan.

Selain ancaman wabak taun dan denggi, aku juga bakal berdepan faktor kebersihan, keselamatan termasuk ancaman pengganas.

Tetapi apa yang lebih merisaukan aku adalah struktur bangunan yang tidak kukuh terutamanya selepas insiden sebuah jejantas yang sedang dalam pembinaan berhampiran stadium utama di ibu negara India ini runtuh pada Selasa lalu.

Insiden itu mengingatkan semula aku kepada kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan di Kuala Terengganu yang menyembah bumi tahun lalu.

Meskipun ketika insiden itu berlaku aku tidak berada di tempat kejadian, ia memberi pengalaman yang cukup berguna sepanjang setahun aku bertugas di sana.

Sejak beberapa hari lalu, bermacam-macam kejadian pelik dan ganjil berlaku di New Delhi.

Selepas katil petinju India runtuh sejurus dia duduk selepas memasuki pangsapuri di perkampungan atlet, beberapa penangkap ular dilaporkan berjaya menangkap seekor ular jenis Cobra yang bersembunyi dalam pusat tenis yang baru siap dibina.

Mungkin berita ini dianggap lawak tetapi itulah situasi yang bakal aku hadapi sepanjang 16 hari di sana.

Ini tidak termasuk masalah penginapan, kenderaan untuk ke lokasi-lokasi utama dan makanan halal sepanjang aku berada di sana.

Apa pun, tugas perlu dilaksanakan kerana ini adalah amanah yang aku pikul. Apa sekalipun dugaan yang datang, aku akan hadapinya dengan tenang. Harap-harap, segala-galanya akan berjalan lancar. Insyaalah.

04 September 2010

MASA UNTUK BERUBAH

.
Kalau nak cepat sampai, naik 'bullet train' lah. Bukannya kereta lembu.....

BOLEH tak kita datang awal?

Kenapa susah sangat kita nak datang awal? Apa sebenarnya masalah kita sehingga menyebabkan kita tak dapat datang awal. Kenapa orang lain boleh datang awal dan kita tak boleh?

Kalau kita datang awal, kita ada banyak masa. Kita boleh rancang macam-macam. Kita boleh buat banyak perkara. Hasil kerja kita juga akan menjadi lebih baik sekiranya kita menggunakan sepenuhnya masa yang ada.

Kalau kita datang lewat, kita buat kerja dalam keadaan tertekan. Hasil kerja kita pasti mengecewakan.

Selain itu, kita juga memberi ruang kepada orang lain untuk mengkritik hasil kerja kita. Tak cukup dengan itu, peribadi kita juga akan dijaja ke sana dan ke sini. Tak malu ke kita?

Sampai bila kita nak bersikap demikian. Berubahlah segera kerana ruang dan peluang masih terbuka.

Sebenarnya, banyak perkara yang ingin kita bincangkan bersama. Tetapi kesuntukan masa telah menyebabkan kita hilang ‘mood’ untuk menyuarakan pendapat dan idea.

Kita seolah-olah seperti anak yatim piatu. Tak ada bapa dan tak ada ibu. Tak ada tempat untuk mengadu.

Begitupun hakikatnya kita masih ada bapa dan kita juga masih ada ibu tetapi kedua-dua mereka tidak sehaluan lagi. Tinggal sebumbung tapi tak lagi bertegur sapa. Masing-masing membawa haluan sendiri.

Kesian. Masalah rumahtangga telah menyebabkan anak-anak menjadi mangsa keadaan. Kalau semua anak-anak itu cerdik dan bijak tak apa juga. Boleh juga mereka jaga diri masing-masing.

Ini sebaliknya. Bila ibu dan bapa tidak sehaluan lagi, anak-anak mengambil kesempatan untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan disiplin dan peraturan. Siapa yang rugi?

Sudah pasti anak yang sulung menjadi mangsa. Terpaksa melayan kerenah adik-adik. Terpaksa menguruskan rumah. Terpaksa berdepan musuh-musuh yang hanya menunggu masa untuk merosakkan keluarga kita.

Kecewalah kita kalau berterusan macam ini. Terpaksa berpura-pura bahagia dan gembira. Hidup serba kepuraan. Semangat pun semakin luntur dan setiap hari kita buat kerja ala kadar sahaja.

Kalau macam inilah keadaannya, lebih baik kita payah tak ada ibu dan bapa. Boleh juga kita minta bantuan daripada rumah-rumah kebajikan. Minta bantuan daripada ketua kampung, wakil-wakil rakyat atau siarkan sahaja dalam akhbar.

Berubahlah segera sebelum rumahtangga kita menjadi porak peranda. Orang lain terutamanya musuh kita sentiasa mengintai dan menunggu peluang untuk mentertawakan kita.

Buangkanlah sifat ego itu. Percayalah, tidak ada siapa yang menang dan tidak ada siapa yang kalah. Tak ada siapa yang rugi pun.

Jadi, sempena hari dan bulan yang baik ini, marilah kita bermaaf-maafan. Sedangkan nabi pun maafkan umatnya, ini pula kita insan yang hina.

Gunakanlah sepenuhnya cuti Hari Raya Aidilfitri yang panjang itu nanti untuk muhasabah. Nanti, apabila balik daripada bercuti, kita akan memperoleh semangat yang baru. Keazaman yang baru. Keyakinan yang baru.

Banyak-banyak berdoa. Moga Allah bukakan pintu hati kita untuk berubah demi kebaikan diri sendiri dan kawan-kawan yang lain.

Perjuangan perlu diteruskan dan selagi belum dicabut nyawa daripada jasad ini, kita perlu berusaha. Selain itu, mencari rezeki yang halal itu adalah wajib bagi semua umat Islam.

01 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2010

PENGGERAK utama unit sukan Kosmo!. DARI kiri, Wan Fakhrul Bakar, Taufek Razak, Norzasrudin Mohamed Nor, Azizul Fahmi, Helmi Talkah dan Shahril Nizam.