26 October 2010

MOMEN TERINDAH DI NEW DELHI

NEW DELHI, India. Satu lokasi yang cukup indah untuk dikunjungi. Tetapi dengan syarat, anda perlu mengikuti pakej-pakej perlancongan yang ditawarkan.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), anda mengambil masa kira-kira lima jam 30 minit untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGA) dengan penerbangan Malaysia Airline (MAS).

Sebaik tiba di IGA, anda akan dibawa pula ke hotel-hotel mewah yang bertaraf lima bintang di bandar raya New Delhi. Perjalanan cuma mengambil masa 30 minit dengan menaiki teksi.

Selepas itu, anda akan dibawa melawat beberapa pusat-pusat pelancongan yang cukup menarik seperti The Red Fort, Jama Masjid, Qutub Minar, Humayun’s Tomb dan India Gate.

Bangunan-bangunan lama terutamanya kota-kota bersejarah peninggalan kerajaan dan pemerintah Islam seperti Qutub Minar masih tersergam. Ia pasti meninggalkan kenangan yang indah untuk dikenang.

Anda juga akan dibawa ke restoran-restoran mewah untuk menikmati makanan dan masakan ala-ala ‘kari’ yang cukup terkenal di sini.


Panorama indah di New Delhi

Tetapi bagi aku, pengalaman berada di New Delhi selama 16 hari sempena Sukan Komanwel 2010 pada 1 hingga 16 Oktober lalu telah menjadi satu sejarah yang tidak mungkin terhakis dalam ingatan aku.

Penderitaan aku bermula dari hari pertama iaitu sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke Hotel Ramada Plaza.

Keengganan pihak pentadbiran syarikat membuat tempahan awal bilik hotel telah menyebabkan aku ‘merempat’ tanpa arah tujuan.

Mujur dua lagi rakan aku bermurah hati untuk menumpangkan aku di bilik mereka meskipun dalam keadaan yang sangat ‘daif’.

Hari pertama bertugas di ibu negara India itu juga tidak kurang hebatnya. Tanpa peta dan maklumat lengkap tentang lokasi pusat media serta venue pertandingan menyebabkan aku seperti hilang punca.

Namun, aku bernasib baik apabila bertemu seorang pemandu teksi yang boleh berkomunikasi dengan baik, bertanggungjawab, berdiplin, jujur dan komited dengan tugasnya.

Atas dasar itu, aku mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat pemandu teksi itu sehingga hari terakhir aku berada di sana.

Selain menghantar dan mengambil aku di semua venue (setiap hari), aku juga menjadikan dia sebagai ‘pengawal peribadi’ setiap kali berkunjung ke lokasi-lokasi ‘sesak’ di sana.

Oleh kerana kenderaan awam dihalang memasuki laluan ke venue pertandingan, aku terpaksa berjalan kaki berkilo-kilometer setiap hari untuk melaksanakan tugas harian aku.

Selain itu, pemeriksaan yang ketat yang dilakukan pihak berkuasa India di setiap pintu masuk venus turut merencatkan perjalanan aku.


Dastar Kwhan-E-Karimyang terletak di Hazrat Nizamuddin
Orang cakap, kita senang hendak mencari manakan kalau kita berada di India kerana masakan di sana tidak banyak bezanya dengan Malaysia yang terkenal dengan menu ‘karinya’.

Indah khabar dari rupa. Memang banyak restoran tetapi untuk mencari restoran yang bersih dan halal cukup sukar.

Satu-satunya restoran yang menepati citarasa aku adalah Dastar Kwhan-E-Karimyang terletak di Hazrat Nizamuddin.

Bagaimanapun untuk sampai ke restoran itu aku terpaksa melalui ‘lorong-lorong’ gelapyang dipenuhi pengemis, anjing dan kambing berhampiran dengan markas Tabligh.

Meskipun berdepan banyak kesukaran, aku bersyukur kerana berjaya ‘melengkapkan misi’, sekali gus pulang ke Malaysia tanpa mencetuskan sebarang masalah.

Sebenarnya banyak lagi pengalaman yang aku peroleh sepanjang berada di New Delhi, India tetapi setiap peristiwa yang berlaku tidak dapat aku terjemahkan dengan kata-kata.


Markas Tabligh di Hazrat Nizamuddin