22 January 2011

Tugasan keempat di Pulau Langkawi

 

MALAM ini adalah malam kedua aku tinggal di Pulau Langkawi. Kali ini, aku berkunjung ke pulau lagenda ini untuk membuat liputan pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Pada kunjungan kali ini, aku dan rakan-rakan media yang lain telah ditempat di sebuah resort yang diberi nama, de Baron Resort yang terletak tidak jauh dari bandar Kuah.

Meskipun resort ini kelihatan seperti baru beroperasi, aku cukup selesa dengan persekitaran dan perkhidmatan yang disediakan. Segala-galanya ada, sekali gus memudahkan aku untuk membuat tugasan yang telah diamanahkan.

Sebenarnya, ini adalah kunjungan keempat aku di pulau yang terkenal dengan sejarah dan tempat peranginan ekslusif ini.

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini adalah pada tahun 2006. Ketika itu, aku telah diberi tugas untuk membuat liputan mengenai tinjauan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dr. Ramlan Abdul Aziz (sekarang Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz dan menjadi Ketua Pengarah Institut Sukan Negara).

Aku, Datuk Dr. Ramlan dan beberapa pegawai MSN telah berkunjung ke Lapangan Sasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (Lisram) bagi melihat sendiri kehidupan dan aktiviti penembak fullbore negara.

Para penembak fullbore negara dikatakan telah dipinggirkan dan tidak mendapat bantuan yang sepatutnya daripada pihak persatuan dan MSN meskipun mereka pernah menyumbang pingat pada temasya Sukan Komanwel.

Setahun kemudian, aku datang sekali lagi ke pulau ini untuk membuat liputan LTdL 2007. Kali ini, aku berpeluang melihat beberapa lokasi menarik di sekitar pulau ini. Aku juga tidak melepaskan peluang untuk membeli 'buah tangan' untuk di bawa pulang.

Begitupun, kunjungan ketiga aku hadir tiga tahun selepas itu iaitu semasa membuat liputan Ironman Langkawi 2010. Kali ini, pergerakan aku sedikit terbatas kerana ketiadaan kenderaan untuk membawa aku keluar dari hotel.

Tahun ini, aku mempunyai lebih banyak masa untuk menikmati keindahan pulau ini. Meskipun hanya tiga hari berada di sini, aku tetap berpeluang untuk berjalan-jalan dan menghabiskan meninjau persekitaran yang indah di sini.

Bagaimanapun, aku tidak pasti bila lagi aku akan berkunjung ke sini. Tetapi lepas ini, aku berhasrat untuk datang ke sini bersama keluarga selepas empat kali 'lone ranger'. Insyaalah...

19 January 2011

Basikal oh Basikal


SELEPAS dua tahun ‘menjual basikal’ aku diberi peluang untuk membuat penampilan semula pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Perlumbaan yang berstatus dua hors (2.HC) yang akan berlangsung selama 10 hari ini bakal membuka tirainya di Pulau Langkawi, Ahad ini.

Secara jujurnya, minat dan semangat aku untuk membuat liputan pada perlumbaan paling berprestij di benua Asia ini semakin menurun sejak akhir-akhir ini. Keterujaan aku juga sudah luntur.

Aku tak tahu apa puncanya. Tetapi yang pastinya, aku sudah lama tidak menulis mengenai ‘basikal’. Selain itu, aku juga sudah lama tidak turun padang untuk bertemu pelumba dan pegawai.


Mengimbas kembali pembabitan aku dalam sukan lumba basikal, aku mula berjinak-jinak pada tahun 2007.

Ketika itu, aku telah diberi tugas untuk membuat liputan Jelajah Malaysia 2007. Pada tahun yang sama juga aku diberi amanah untuk mengikuti LTdL.

Setahun kemudian, aku sekali lagi diberi tanggungjawab untuk membuat liputan pada kedua-dua perlumbaan tersebut (Jelajah Malaysia dan LTdL 2008).

Bagaimanapun, impian aku untuk membuat hatrik tidak menjadi kenyataan selepas aku ‘dipaksa’ berpindah ke Terengganu pada tahun 2009.

Sejak itu, minat aku untuk ‘menunggang basikal’ tiba-tiba hilang meskipun aku masih mengekalkan hubungan yang baik dengan pegawai dan pelumba negara.

Atas dasar minat, aku cuba memberi ‘publisiti’ kepada pasukan lumba basikal Terengganu.

Aku mula berbaik-baik dengan presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), Datuk Ahmad Sidi Ismail, jurulatih, bekas jurulatih dan para pelumba muda di negeri itu.

Sekali lagi, ‘jodoh’ aku bersama mereka tidak panjang apabila aku dipanggil pulang ke Kuala Lumpur.

Sebaik berada di Kuala Lumpur, aku mula menghubungi semula rakan-rakan lama termasuk Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab, Naib PKBM, Datuk Naim Mohamad, pengurus pasukan LeTua Cycling Team (L2A), Shukor Yassin dan lain-lain yang tidak dapat disebutkan namanya.

Mungkin sudah lama meninggalkan ‘tugasan’ ini, aku tidak berkesempatan untuk mengikuti LTdL dan Jelajah Malaysia 2010. Mungkin ada yang lebih baik daripada aku. ‘Aiman’ tak kisah....

Apabila aku diarahkan untuk membuat liputan pada edisi ke-16 tahun ini, aku berasa sedikit terkejut. Bimbang aku tidak dapat memberikan yang terbaik.

Ini kerana, aku sudah lama tidak membuat ‘ulangkaji’ dan mengikuti perkembangan mengenai sukan lumba basikal di negara ini. Selain itu, aku juga tidak berkesempatan untuk ‘turun padang’.

Namun, aku berjanji akan melakukan yang terbaik kerana ini adalah tanggungjawab dan tugasan yang telah diamanahkan. Meskipun serba kekuangan, aku yakin mampu melakukannya.

14 January 2011

Daulat Tuanku

BEST jugak cuti rehat mingguan (off day) pada hari Jumaat ni. Tak payak nak bangun pagi, nak terkejar-kejar pergi sembahyang Jumaat dan bergegas ke tempat kerja.

Bolehlah aku meluangkan lebih banyak masa untuk beribadat. Insyaallah (sambil nyanyi lagu Maher Zain).

Untuk pengetahuan semua, hari ini adalah hari dan tahun pertama aku off day pada hari Jumaat dan Sabtu. Off day berganda pertama selepas setahun aku off day pada hari Selasa dan Sabtu.

Daulat Tuanku
Hari ini cukup bertuah. Dalam kalendar Islam, Jumaat dianggap sebagai penghulu segala hari. Selain itu, hari ini juga merupakan Hari Keputeraan ke-63 Yang di- Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Jadi, hari ini diberikan cuti umum buat seluruh rakyat di Negeri Sembilan termasuklah aku (walaupun bekerja di Kuala Lumpur). Sempena cuti umum, anak-anak aku tak sekolah dan isteri aku tak kerja.

Sudah tentu aku tidak akan melepaskan peluang keemasan ini. Aku mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Mesti ada yang jelous….

Aku anggap semua ini sebagai satu permulaan yang baik buat aku untuk menghadapi cabaran yang dijangka lebih getir tahun ini. Semoga perjalanan hidup aku dipermudahkan dan mendapat keberkatan.

Bagaimanapun, aku berasa sedikit terkilan selepas aku mengetahui perubahan jadual kerja pada tahun 2011 ini dibuat bagi memenuhi permintaan seorang individu di unit tempat aku bekerja.

Umpama seperti rombakan ‘Kabinet’ ini dibuat atas desakan seorang ‘Ahli Parlimen’ yang pro kerajaan. Perubahan dasar ini dibuat tanpa mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan daripada ‘Ahli Parlimen’ yang lain.

Sungguh tidak adil. Kesian pada mereka yang terinaya. Bagi aku, aku tidak kisah. Aku tak ada kepentingan peribadi. Aku ikut jer. Selagi tidak menjejaskan reputasi aku, aku tidak akan membantah.

Tapi bagaimana dengan mereka yang lain…..

04 January 2011

Tahun Baru 2011


SETIAP kali masuk tahun baru, orang akan bercakap mengenai azam baru.  Sibuk memasang azam meskipun tidak faham apa sebenarnya maksud azam itu. Apa sebenarnya azam? adakah Mohd. Azam, air zam zam atau zam zam alakazam?

Aku pun tak tahu apa sebenarnya maksud azam itu. Ia mempunyai maksud yang tersirat dan tersurat. Tapi apa yang aku tahu adalah perubahan dari sesuatu yang tidak baik kepada yang lebih baik dan keinginan untuk berubah, sekali gus mencapai sesuatu kejayaan.

Bagi aku, azam tahun 2011 tidak penting kerana apa yang lebih penting adalah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Aku perlu bekerja lebih keras, bersungguh-sungguh dan berdisiplin kerana ia mampu memberi kejayaan kepada aku.

Selain itu, aku juga ingin menghambakan diri kepada Allah SWT untuk memperoleh kesejahteraan di akhirat nanti. Sebagai orang Islam, aku percaya dengan qada dan qadar.  Kita perlu berusaha, kemudian berdoa dan selepas itu baru bertawakal kepada Allah SWT.

Biarlah Allah SWT yang tentukan perjalanan hidup aku ini. Biarlah mereka dengan permainan mereka. Aku tak perlu membabitkan diri meskipun adakalanya aku menjadi mangsa 'kerakusan' mereka untuk mencapai kemenangan.

Moga tahun 2011 akan memberikan lebih kebahagian kepada aku sekeluarga. Moga perjalanan keluarga kami diberi petunjuk dan direstui. Insyaalah...