29 May 2011

Reputasi Kosmo! tercalar?

REPUTASI Kosmo! selaku akhbar kompak paling pantas berkembang akhirnya tercalar. Segala-galanya berpunca daripada penganjuran Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang berlangsung pada 26 hingga 29 Mei lalu.

Sejak dilancarkan pada 31 Ogos 2004 lalu (sudah hampir lapan tahun berada di pasaran) semua kakitangan Kosmo! telah bekerja keras untuk memajukan akhbar ini.

Begitupun, pengajuran kejohanan futsal yang berlangsung selama empat hari di Kompleks Futsal 1Malaysia di Presint 18, Putrajaya ini sudah memburukkan reputasi dan nama baik Kosmo!.

Dari segi penganjuran, Kosmo! memang hebat kerana berjaya menarik minat 1,601 pasukan (16,010 pemain) dari seluruh negara untuk berhimpun di Putrajaya sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 ini.

Kejayaan itu telah meletakkan Kosmo! di kelas tersendiri, sekali gus mencipta sejarah apabila mendapat pengiktirafan dari Malaysian Book of Record. Du rekod sekali gus iaitu kejohanan paling besar dan terpanjang.

Kejohanan ini turut menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan dan pemain juga boleh memenangi hadiah-hadiah sampingan yang tidak kurang hebatnya bagi setiap kategori.

Peserta juga boleh membawa hadiah yang disedia penganjur dan rakan penaja yang lain dengan menyertai beberapa acara sampingan sepanjang empat hari kejohanan ini berlangsung.

Selain Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kejohanan ini turut mendapat pujian daripada beberapa pemimpin tertinggi negara termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Namun, dari segi teknikalnya, pengajuran kejohanan ini boleh dianggap sebagai gagal. Rata-rata pemain berasa tidak berpuas hati (marah dan memaki hamun) dengan jadual perlawanan yang tetapkan.

Tempoh menunggu lebih daripada 10 jam telah menyebabkan para pemain 'hilang semangat' untuk bermain. Tetapi mereka tidak ada pilihan kerana pendaftaran telah dibuat dan bayaran sudah dijelaskan.

Mahu ataupun tidak, semua kesengsaraan itu terpaksa ditelan meskipun pahit untuk melakukannya. Mungkin inilah akibatnya jika individu yang tidak pernah bermain futsal turut terbabit dalam urusan teknikal.

Bagi meredakan ketegangan itu, para peserta telah menggunakan laman sosial, Facebook Futsal Kosmo! untuk meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing. Pelbagai komen negatif boleh dibaca melalui akaun ini. Namun, tidak ada maklumbalas daripada penganjur seperti sebelum kejohanan ini berlangsung.

Kini, segala-galanya sudah berlaku. Nasi sudah menjadi bubur. Reputasi Kosmo! sudah tercalar dan nama baik Kosmo! sudah tercemar.

Untuk rekod, beberapa tahun lalu, akhbar ini paling mendapat sambutan terutamanya dari golongan remaja. Selain laporan beritanya yang menarik, akhbar ini turut memaparkan berita-berita sukan yang terkini.

Malah, dalam satu servey yang dilakukan, salah satu sebab kenapa akhbar ini mempunyai pembaca yang ramai adalah kerana laporan berita sukan tempatan dan luar negara yang cukup memuaskan.

Sebanyak 11 muka surat (dari muka surat ke-54 hingga 64) diperuntukkan untuk berita-berita sukan ini.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, muka surat ini telah dilambakkan dengan iklan-iklan yang adakalanya langsung tiada kaitan dengan sukan tempatan mahupun luar negara.

Ada kalanya, iklan lebih banyak daripada berita. Selain daripada itu, pemilihan beritanya juga kurang memuaskan dan tiada kualiti. Sekadar untuk memenuhi muka surat sahaja.

Jadi, Kosmo! perlu lakukan sesuatu sekiranya mahu akhbar ini kembali berada di hati pembaca. Perubahan perlu dilakukan bagi membolehkan akhbar ini bersaing semula dengan pencabar yang lain di pasaran terbuka. Kosmo! perlu belajar daripada kesilapan...

24 May 2011

Arsenal datang Malaysia

ARSENAL menjadi pasukan Liga Perdana England kedua sah akan menentang skuad bola sepak kebangsaan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 13 Julai depan.

Terdahulu, naib juara musim ini, Chelsea telah pun mengesahkan akan turun bertemu skuad kebangsaan di gelanggang yang sama pada 21 Julai depan.

Tidak cukup itu, Liverpool juga dikhabarkan akan bertemu skuad kebangsaan pada 16 Julai depan tetapi sidang media pengesahannya dijangka akan dibuat awal bulan depan.

Ia menjadikan pertengahan Julai depan minggu paling sibuk dan meriah buat peminat bola sepak negara kerana tiga perlawanan itu akan berlangsung dalam tempoh seminggu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kehadiran tiga kelab dari England itu merupakan satu pengiktirafan selepas kejayaan Malaysia bergelar jagoan Asia Tenggara setelah menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan Sukan SEA 2009.

“Bagi saya ia secara tak langsung merupakan satu platform buat skuad kebangsaan kita mendapat perlawanan pendedahan yang cukup baik. Pasti ia sesuatu yang tidak dijangka para pemain kita.

“Ini satu peluang keemasan buat setiap pemain terutamanya pemain muda. Tiga perlawanan hebat dalam seminggu. Saya rasa pasukan England atau Brazil pun tak dapat peluang sebegini.

“Jadi harap pemain gunakan sepenuhnya peluang ini. Kalau masih muda, saya pun nak bermain sama,” kata Tengku Abdullah pada sidang media pengumuman tarikh Jelajah Asia Arsenal 2011 di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.

Tiket berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 mula dijual pada Jumaat ini di butik Nike Mid Valley, KLCC, Pavilion, One Utama dan Sunway Pyramid serta rangkaian Ticketpro seluruh negara atau secara online di www.ticketpro.com.my.

Pembelian awal akan disertaikan pas masuk percuma menyaksikan sesi latihan pasukan Arsenal di Stadium Nasional pada 12 Julai depan.

Pesan Tengku Abdullah: “Biarpun saya penyokong Arsenal sejak kecil, saya tetap jiwa Malaysia. Harap lebih ramai hadir berjersi kuning daripada berjersi merah. Semangat negara perlu didahulukan daripada keghairahan peribadi.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Arsenal, Tom Fox yang turut hadir pada sidang media itu menyatakan bahawa China menjadi satu lagi destinasi Jelajah Asia 2011 setelah rancangan ke Jepun dibatalkan kerana tragedi tsunami.

“Ini merupakan kali keempat Arsenal ke Malaysia setelah kali pertama pada 1968 dan kali terakhir kira-kira 12 tahun lalu iaitu pada 1999.

“Sempena ulangtahun ke-125 kelab, kami mahu memulakan pra musim dengan perancangan rapi dan akan menurunkan pemain dari skuad utama untuk perlawanan di Kuala Lumpur nanti,” kata Fox.

18 May 2011

Pakatan Pirates

Antara aksi menarik Jack Sparrow (kiri) dan Angelica.
SEMPENA tayangan filem Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides pada 19 Mei ini, aku mengambil kesempatan untuk mengimbas serba sedikit mengenai filem ini.

Untuk rekod, filem pertama Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl dilancarkan pada tahun 2003. Ketika itu, aku masih bekerja di syarikat lama iaitu di sebuah syarikat kewangan berlesen, Affin-AFC Finance Berhad di ibu negara.

Filem kedua, Pirates of the Caribbean: Dead Man's Chest dan ketiga, Pirates of the Caribbean: At World's End masing-masing dilancarkan pada tahun 2006 serta 2007. Pada masa ini, aku sudah bekerja di sebuah syarikat akhbar.

Aku sangat meminati filem ini. Selain, pelakon dan plot ceritanya yang menarik, ia juga memiliki signifikan yang tersendiri.

Apa yang pasti, ia berkait rapat dengan kehidupan harian aku terutamanya di tempat kerja. Bagi aku, filem ini mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat.

Setahun yang lalu, aku ada post satu entry berjudul ‘THE BLACK PEARL’ dalam blog ini.

Banyak maksud tersirat dan tersurat terkandung dalam entry tersebut. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang memahaminya.

Tanpa disedari, entry tersebut bakal menyambut ulang tahun pertamanya pada 20 Mei ini. Meskipun usianya sudah setahun, ia masih lagi segar dalam ingat aku. Malah, jalan ceritanya juga tidak banyak yang berubah.

Beberapa hari lalu, seorang sahabat aku ada post satu status dalam akaun FB nya yang berbunyi - “Nampaknya kapal ni makin lama makin nak karam, byk sgt bocornya. Perlukah mula mencari kapal yg baru?”

Status ini telah mengingatkan semula kepada entry yang aku post setahun lalu. Rupa-rupanya cerita dalam entry itu masih boleh digunakan sehingga ke hari ini. Selain itu, ia juga telah memberi kesan yang besar kepada watak-watak antagonis yang aku hidupkan dalam entry itu.

Malangnya, entry itu langsung tidak memberi kesan kepada protagonis (watak utama dalam cerita ini). Makin buruk sehingga memaksa sahabat aku itu mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam akaun FB nya.

Entahlah. Aku pun dah tak tahu nak buat apa. Makin hari, makin hilang selera aku nak meneruskan tugas-tugas harian di tempat kerja. Motivasi langsung tidak ada. Yang tinggal hanya kesabaran. Tapi sampai bila?


SINOPSIS Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides - Filem aksi yang penuh komedi ini pasti akan menghiburkan anda. Johnny Deep kembali sebagai lanun kegemaran ramai, Jack Sparrow dengan lakonan kelakarnya pasti akan mencuit hati anda. Semasa Jack Sparrow bertemu semula dengan bekas kekasihnya, Angelica (Penelope Cruz), dia memaksa Jack untuk menaiki kapal Queen Anne’s Revenge yang dikendalikan oleh Blackbeard. Suatu pengembaraan penuh luar dugaan bakal dialami oleh Jack Sparrow dalam filem yang paling dinantikan tahun 2011 ini.