24 May 2011

Arsenal datang Malaysia

ARSENAL menjadi pasukan Liga Perdana England kedua sah akan menentang skuad bola sepak kebangsaan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 13 Julai depan.

Terdahulu, naib juara musim ini, Chelsea telah pun mengesahkan akan turun bertemu skuad kebangsaan di gelanggang yang sama pada 21 Julai depan.

Tidak cukup itu, Liverpool juga dikhabarkan akan bertemu skuad kebangsaan pada 16 Julai depan tetapi sidang media pengesahannya dijangka akan dibuat awal bulan depan.

Ia menjadikan pertengahan Julai depan minggu paling sibuk dan meriah buat peminat bola sepak negara kerana tiga perlawanan itu akan berlangsung dalam tempoh seminggu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kehadiran tiga kelab dari England itu merupakan satu pengiktirafan selepas kejayaan Malaysia bergelar jagoan Asia Tenggara setelah menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan Sukan SEA 2009.

“Bagi saya ia secara tak langsung merupakan satu platform buat skuad kebangsaan kita mendapat perlawanan pendedahan yang cukup baik. Pasti ia sesuatu yang tidak dijangka para pemain kita.

“Ini satu peluang keemasan buat setiap pemain terutamanya pemain muda. Tiga perlawanan hebat dalam seminggu. Saya rasa pasukan England atau Brazil pun tak dapat peluang sebegini.

“Jadi harap pemain gunakan sepenuhnya peluang ini. Kalau masih muda, saya pun nak bermain sama,” kata Tengku Abdullah pada sidang media pengumuman tarikh Jelajah Asia Arsenal 2011 di Hotel Saujana, Subang pagi semalam.

Tiket berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 mula dijual pada Jumaat ini di butik Nike Mid Valley, KLCC, Pavilion, One Utama dan Sunway Pyramid serta rangkaian Ticketpro seluruh negara atau secara online di www.ticketpro.com.my.

Pembelian awal akan disertaikan pas masuk percuma menyaksikan sesi latihan pasukan Arsenal di Stadium Nasional pada 12 Julai depan.

Pesan Tengku Abdullah: “Biarpun saya penyokong Arsenal sejak kecil, saya tetap jiwa Malaysia. Harap lebih ramai hadir berjersi kuning daripada berjersi merah. Semangat negara perlu didahulukan daripada keghairahan peribadi.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Arsenal, Tom Fox yang turut hadir pada sidang media itu menyatakan bahawa China menjadi satu lagi destinasi Jelajah Asia 2011 setelah rancangan ke Jepun dibatalkan kerana tragedi tsunami.

“Ini merupakan kali keempat Arsenal ke Malaysia setelah kali pertama pada 1968 dan kali terakhir kira-kira 12 tahun lalu iaitu pada 1999.

“Sempena ulangtahun ke-125 kelab, kami mahu memulakan pra musim dengan perancangan rapi dan akan menurunkan pemain dari skuad utama untuk perlawanan di Kuala Lumpur nanti,” kata Fox.

No comments:

Post a Comment

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...