29 May 2011

Reputasi Kosmo! tercalar?

REPUTASI Kosmo! selaku akhbar kompak paling pantas berkembang akhirnya tercalar. Segala-galanya berpunca daripada penganjuran Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang berlangsung pada 26 hingga 29 Mei lalu.

Sejak dilancarkan pada 31 Ogos 2004 lalu (sudah hampir lapan tahun berada di pasaran) semua kakitangan Kosmo! telah bekerja keras untuk memajukan akhbar ini.

Begitupun, pengajuran kejohanan futsal yang berlangsung selama empat hari di Kompleks Futsal 1Malaysia di Presint 18, Putrajaya ini sudah memburukkan reputasi dan nama baik Kosmo!.

Dari segi penganjuran, Kosmo! memang hebat kerana berjaya menarik minat 1,601 pasukan (16,010 pemain) dari seluruh negara untuk berhimpun di Putrajaya sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 ini.

Kejayaan itu telah meletakkan Kosmo! di kelas tersendiri, sekali gus mencipta sejarah apabila mendapat pengiktirafan dari Malaysian Book of Record. Du rekod sekali gus iaitu kejohanan paling besar dan terpanjang.

Kejohanan ini turut menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan dan pemain juga boleh memenangi hadiah-hadiah sampingan yang tidak kurang hebatnya bagi setiap kategori.

Peserta juga boleh membawa hadiah yang disedia penganjur dan rakan penaja yang lain dengan menyertai beberapa acara sampingan sepanjang empat hari kejohanan ini berlangsung.

Selain Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kejohanan ini turut mendapat pujian daripada beberapa pemimpin tertinggi negara termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Namun, dari segi teknikalnya, pengajuran kejohanan ini boleh dianggap sebagai gagal. Rata-rata pemain berasa tidak berpuas hati (marah dan memaki hamun) dengan jadual perlawanan yang tetapkan.

Tempoh menunggu lebih daripada 10 jam telah menyebabkan para pemain 'hilang semangat' untuk bermain. Tetapi mereka tidak ada pilihan kerana pendaftaran telah dibuat dan bayaran sudah dijelaskan.

Mahu ataupun tidak, semua kesengsaraan itu terpaksa ditelan meskipun pahit untuk melakukannya. Mungkin inilah akibatnya jika individu yang tidak pernah bermain futsal turut terbabit dalam urusan teknikal.

Bagi meredakan ketegangan itu, para peserta telah menggunakan laman sosial, Facebook Futsal Kosmo! untuk meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing. Pelbagai komen negatif boleh dibaca melalui akaun ini. Namun, tidak ada maklumbalas daripada penganjur seperti sebelum kejohanan ini berlangsung.

Kini, segala-galanya sudah berlaku. Nasi sudah menjadi bubur. Reputasi Kosmo! sudah tercalar dan nama baik Kosmo! sudah tercemar.

Untuk rekod, beberapa tahun lalu, akhbar ini paling mendapat sambutan terutamanya dari golongan remaja. Selain laporan beritanya yang menarik, akhbar ini turut memaparkan berita-berita sukan yang terkini.

Malah, dalam satu servey yang dilakukan, salah satu sebab kenapa akhbar ini mempunyai pembaca yang ramai adalah kerana laporan berita sukan tempatan dan luar negara yang cukup memuaskan.

Sebanyak 11 muka surat (dari muka surat ke-54 hingga 64) diperuntukkan untuk berita-berita sukan ini.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, muka surat ini telah dilambakkan dengan iklan-iklan yang adakalanya langsung tiada kaitan dengan sukan tempatan mahupun luar negara.

Ada kalanya, iklan lebih banyak daripada berita. Selain daripada itu, pemilihan beritanya juga kurang memuaskan dan tiada kualiti. Sekadar untuk memenuhi muka surat sahaja.

Jadi, Kosmo! perlu lakukan sesuatu sekiranya mahu akhbar ini kembali berada di hati pembaca. Perubahan perlu dilakukan bagi membolehkan akhbar ini bersaing semula dengan pencabar yang lain di pasaran terbuka. Kosmo! perlu belajar daripada kesilapan...

2 comments:

  1. aku dah beri peringatan kepada seseorang..

    "kita mungkin dapat tarik 5,000 pembaca baru, tetapi dalam masa yang, kita sebenarnya telah kehilangan 50,000 pembaca lama.."

    ReplyDelete
  2. Begitulah bro. Harap2 mereka akan belajar daripada kesilapan dan bukannya syok sendiri. Dan terus mendabik dada dengan dua rekod (terbesar dan terpanjang) dalam Malaysian Book of Record yang diperoleh itu.Insyaalah...

    ReplyDelete

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...