11 June 2011

Transformasi Motosikal Aku

1. Honda C70 (Lampu Bulat)
INI adalah motosikal pertama yang aku naik. Aku pandai naik motosikal ketika masih di sekolah rendah iaitu pada pertengahan tahun 1980-an. Oleh kerana motosikal ini lebih tinggi daripada aku, aku terpaksa mencari 'divider' atau tempat tinggi setiap kali berhenti. Fungsi utama motosikal arwah ayah ini adalah untuk mengangkut getah sekerap dan getah cair dari kebun ke stor. Bagaimanapun, aku menjaga motosikal ini dengan baik, sekali gus menjadikannya seperti 'motosikal perang' (bunyi macam ribut, lari macam siput) untuk mengelilingi kampung (Felda Lui Timur) bersama-rakan sebaya yang lain pada setiap petang. Motosikal ini emak aku dah jual tapi dia jual body dan enjin sahaja (dah jahanam).

2. Honda C70 (Lampu Petak)
DENGAN motosikal ini, aku mula mengenali dunia luar. Tanpa pengetahuan arwah ayah dan emak, aku telah menjelajah ke kampung-kampung lain. Meskipun tiada lesen memandu dan tidak memakai topi keledar, aku pergi banyak tempat termasuk Jeram Lui Barat (sekarang Hutan Lipur De Bana) Jeram Serting Hilir, Bandar Baru Serting (Felda Raja Alias) dan sebagainya. Ketika umur aku 16 tahun, aku telah mengambil lesen memandu dan lulus dengan sekali 'test' sahaja. Langkah aku makin panjang dan aku pernah sampai ke Melaka dengan menaiki motosikal ini. Motosikal ini masih ada dalam simpanan aku tapi tinggal body dan enjin sahaja.

3. Suzuki RC110
INI motosikal syarikat (Affin Finance Berhad). Aku diberi kepercayaan untuk membawa pulang dan menjaga motosikal ini bagi memudahkan aku menjalankan tugas selaku 'budak penghantar surat' di syarikat kewangan berlesen itu. Aku jaga motosikal ini seperti milik aku sendiri. Dengan motosikal ini, aku telah mengenai Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Semua tempat aku pergi dan semua lorong aku redah termasuk 'lorong-lorong hitam' di kota metropolitan ini. Malah, aku juga pernah bawa motosikal ini balik ke kampung aku. Setahun aku guna motosikal ini. Banyak sungguh jasa motosikal ini.

4. Yamaha RXZ135 (Hijau)
INI adalah motosikal pertama yang aku beli dengan duit poket aku sendiri. Lama juga aku 'ikat perut' sebab hendak kumpul duit beli motosikal ini. Aku paling sayang dengan motosikal ini. Dengan motosikal ini, aku mula menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia. Bersama rakan-rakan kelab (Mohican dan Raris), kami berkonvoi ke beberapa negeri termasuk Perak (Pulau Pangkor), Pahang (Cherating), Melaka (Pangkalan Balak), Johor (Desaru) dan lain-lain. Motosikal ini cukup digeruni kawan dan lawan kerana aku telah ubah suai untuk mencapai kelajuan 200km/s. Lebuh raya PLUS (Kuala Lumpur - Seremban) menjadi saksi. Jalan lama Bukit Putus (Kuala Pilah) yang bengkang-bengkok itu pun sudah jadi lurus. Aku juga sudah 'test' banyak jalan raya dan lebuh raya di Lembah Kelang. Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Bulatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Selayang dan Lebuhraya Damansara serta Bukit Raja menjadi destinasi aku dan rakan-rakan kelab yang lain setiap malam hujung minggu.

Suatu hari, seorang kawan aku pinjam motosikal ini. Katanya, dia hendak balik kampung sebab ada kecemasan. Atas dasar persahabatan, aku pun bagi pinjam meskipun dengan hati yang berat. Tetapi dia tidak pulangkan motosikal ini seperti mana yang dijanjikan. Dia juga langsung tifak dapat dihubungi. Aku dan beberapa rakan yang lain ambil keputusan untuk mencari budak itu sehingga ke kampungnya. Kami berjaya mencari budak itu tetapi motosikal aku sudah jahanam. Dia cakap, dia terjatuh ketika cuba untuk mengelak seekor kerbau yang melintas jalan. Aku ambil keputusan untuk jual sahaja motosikal itu kepada budak tersebut dan dia berjanji akan bayar seperti mana harga yang dipersetujui.

5. YAMAHA RXZ135 (Merah)
SELEPAS peristiwa itu, aku beli lagi sebiji motosikal Yamaha RXZ (warna merah). Tapi baru beberapa minggu aku guna motosikal itu, aku terbabit dalam satu kemalangan di Lebuhraya Rawang. Kemalangan terburuk dalam karier 'rempit' aku. Pada kelajuan 150km/s, tayar depan motosikal aku tiba-tiba pancit. Aku tidak boleh buat apa-apa selain daripada 'superman' di atas jalanraya. Mujur tidak ada kenderaan lain yang merempuh aku.

Dengan motosikal ini, aku dan empat rakan lain telah membuat satu konvoi 'naked' ke Bukit Kayu Hitam (sempadan Malaysia-Thailand). Sekadar membayar RM10, kami dan motosikal masing-masing dibawa masuk Danok, Thailand secara haram. Kami tidur satu malam di sebuah rumah tumpangan di pekan koboi itu. Dalam perjalanan balik, kami singgah di Kangar (Perlis), Alor Setar (Kedah) dan Pulau Pinang.

Beberapa bulan kemudian, aku mempunyai dua motosikal Yamaha RXZ. Aku telah mengambil semula motosikal pertama aku selepas rakan aku gagal melunaskan bayaran seperti mana yang dijanjikan. Memiliki dua motosikal RXZ dalam suatu mana, aku tak mula fikir sesuatu. Aku ambil keputusan untuk membuat pertukaran 'suka sama suka' dengan rakan sekerja aku. Aku bagi dia motosikal Yamaha RXZ warna merah dan aku ambil motosikal Suzuki Panther dia.

6. Suzuki Panther
KETIKA ini, aku ada dua motosikal iaitu Yamaha RXZ dan Suzuki Panther. Sebelum aku hantar Yamaha RXZ aku ke kampung, aku dan buat 'full modified' dan kelajuan motosikal itu melebihi 200km/s. Setiap bulan aku balik kampung dan setiap bulan juga motosikal aku akan bertukar. Ramai yang heran, malah ada pakcik dekat rumah aku cakap aku pakai motosikal curi. Selepas beberapa tahun, aku ambil keputusan untuk menjual motosikal Yamaha RXZ itu sebab aku dah ''insaf' (tak nak berlumba haram lagi).

Suatu hari, selepas tamat waktu kerja, aku pergi ke tempat aku letak motosikal Suzuki Panther aku. Ketika itu, aku kerja di Affin Finance Berhad cawangan SS2, Petaling Jaya. Pada mulanya, aku ingat aku salah letak tetapi selepas puas mencari, baru aku sedar yang motosikal aku sudah kena curi. Aku pun buat laporan polis sekadar memenuhi prosedur.

Selepas jual motosikal Yamaha RXZ, motosikal Suzuki Panther aku pula kena curi. Dengan ini, aku dah tak ada motosikal lagi. Tapi nasib baik aku ada kereta Perodua Kancil.

7. Honda EX5
AKU beli sebuah motosikal Honda EX5 (second hand) sebab tidak sanggup tersekat dalam kesesakan jalan raya setiap kali pergi dan pulang dari kerja. (Bandar Tasik Selatan ke Petaling Jaya). Aku pun sudah malas mencari kotak parking dan bayar sewa parking. Tapi aku guna tidak lama motosikal Honda Ex5 ini. Aku 'train-in' motosikal ini untuk membeli sebuah motosikal baru Yamaha 125Z.

8. Yamaha 125Z
LAMA juga aku guna motosikal ini. Aku guna motosikal ini untuk berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur. Beberapa tahun lalu, aku bagi motosikal ini kepada adik lelaki aku dan sehingga sekarang dia masih menggunakannya.


9. Kawasaki KR150 (Ninja)
SEBAB tak sanggup hendak naik motosikal 'kapcai' berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur, aku ambil keputusan untuk membeli sebuah motosikal Kawasaki KR150 berwarna hitam. Motosikal ini aku beli dengan bayaran tunai. Inilah kenderaan yang aku guna untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari. Tapi baru beberapa bulan aku beli, aku dan 'test' jalan raya di Chan Sow Lin. Keras jugak jalan raya tu. Hampeh punya anjing, masa aku lalu, masa itulah dia hendak melintas jalan. Akibatnya, aku dan anjing itu 'tempang' balik rumah.

10. MZ Moskito 125RX (Skuter)
MOTOSIKAL ini aku dapat secara percuma. Aku menang hadiah utama cabutan nombor bertuah sempena Fiesta Media Idola di Kuantan pada tahun 2007. Manariknya, hadiah ini telah disampaikan oleh pelakon wanita kontroversi, Fasha Sanda. Motosikal ini masih ada dalam simpanan aku dan berada pada kondisi terbaik.
endzass...

08 June 2011

Tawaran Kelab Baru...

SEJAK Ahad lalu, kotak fikiran aku telah 'disantak' dengan isu perpindahan 'pemain'. Seorang sahabat aku memberitahu, dua orang rakan sekerja aku (unit berlainan) sedang menimbangkan keputusan untuk berhenti kerja.

Katanya, kedua-dua individu itu sudah mendapat tawaran dari sebuah syarikat lain dan hanya menunggu masa untuk berhijrah ke sana. Sama ada betul atau tidak cerita ini, aku sendiri tidak pasti. Tetapi apa yang boleh aku katakan 'SYABAS' kepada mereka.

Aku tak mahu fikirkan sangat pendedahan di 'pokok ceri' itu kerana bagi aku, itu hak masing-masing. Tetapi bagi aku, banyak perkara yang perlu difikirkan sekiranya kita hendak 'berhijrah' ke tempat lain.

Aku ingatkan cerita itu sudah berakhir dan tidak ada sambungannya. Tetapi ramalan aku langsung tidak benar.

Malam semalam, aku sekali lagi dikejutkan dengan isu 'perpindahan pemain' ini. Tapi kali ini melibatkan rakan seperjuangan aku.Bermula dengan komen di laman sosial Facebook, kami berbincang mengenai tawaran ini.

Segala-galanya bermula dengan kekosongan tempat yang dialami 'rival' kami selepas salah seorang individu (yang tidak kurang hebatnya) meninggalkan syarikat itu. Maka, tercetuslah perbualan ini...

WATAK UTAMA:
"haha, tawaran beraksi di rooftop tu cukup menggoyahkan hati... Akan cuba dipertimbangkan jika terma dan syarat kontraknya menarik..."

WATAK KEDUA:
"saya dah cukup tua untuk menyertai pasukan tuan. biarlah pelayer2 muda yang menyertai pasukan tuan, hehehe"

"aku dah bersara terus dari pentas antarabangsa dan liga domestik. sekarang aku fokus pada karier."

"kalau aku cari team barupun aku akan bealih ke acara lain."

WATAK UTAMA:
"buat pe ko nak fokus pd karier sedangkan kelab sendiri tak menjaga kebajikan pemain?"

"buat pe k***o trus ikat kontrak jangka pjg dgn aku sedangkan aku hanya diletakkan utk memanaskan bangku simpanan selama beberapa musim dah tanpa diberi byk peluang beraksi..." Hehehe...

"wah dah ghupe pegawai promosi..hehe.. Tp aku risau pengurusan kelab n*********n tu akan cuba menaikkan gaji atau menawarkan lanjutan kontrak baru wpun ia umpama mimpi je la...

WATAK KETIGA:
"Tp bila membaca perbualan awal dlm status ni...mcm ada pakatan di blkg tabir la...minta beri penjelasan skit bila balik t**i nanti...hahaha

WATAK UTAMA:
"haha,sume urusniaga akan dijalankan di tanah air.."

06 June 2011

Padah mengatur keputusan perlawanan bola


SEREMBAN – Bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Seksyen di sini atas 21 tuduhan memberi rasuah dengan jumlah keseluruhan RM24,900 kepada para pemain skuad berkenaan untuk mengatur keputusan satu perlawanan pada April lalu.

Yusarman Yusof, 35, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM24,900 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan antara 19 hingga 22 April lepas dibacakan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Sebelas pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd. Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd. Hafiz Mohd. Nor.

Yusarman dituduh memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada pemain pasukan itu.

Ia sebagai dorongan supaya mereka membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang bagi perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lepas.

Dalam perlawanan itu, Negeri Sembilan menang 5-2.

Sebelas daripada pertuduhan itu dilakukan di Pusat Komersial Cempaka, Taman Cempaka, Senawang dekat sini pukul 5 petang 22 April lalu, manakala sembilan pertuduhan dilakukan di tempat yang sama pada pukul 9 malam 19 April lalu dan satu pertuduhan dilakukan di sekitar Seremban pada 10 malam hari yang sama.

Bagi setiap tuduhan dia didakwa mengikut Seksyen 16 (B)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan dengan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya SPRM, Mohd. Jasmi Buang dan Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Nor Hisham Hussain.

Pihak pendakwaan memohon tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM25,000 namun dibantah Mohd. Nor Hisham atas alasan anak guamnya tidak mampu selain perlu menanggung keluarganya.

Nursinah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 5 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kosmo! 27 Mei lalu lalu melaporkan, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis kerana mengesyaki beberapa pemain termasuk pihak pengurusan skuad bola sepak Piala Presiden negeri ini terlibat dengan kegiatan mengatur keputusan perlawanan.