06 June 2011

Padah mengatur keputusan perlawanan bola


SEREMBAN – Bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Seksyen di sini atas 21 tuduhan memberi rasuah dengan jumlah keseluruhan RM24,900 kepada para pemain skuad berkenaan untuk mengatur keputusan satu perlawanan pada April lalu.

Yusarman Yusof, 35, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM24,900 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan antara 19 hingga 22 April lepas dibacakan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Sebelas pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd. Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd. Hafiz Mohd. Nor.

Yusarman dituduh memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada pemain pasukan itu.

Ia sebagai dorongan supaya mereka membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang bagi perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lepas.

Dalam perlawanan itu, Negeri Sembilan menang 5-2.

Sebelas daripada pertuduhan itu dilakukan di Pusat Komersial Cempaka, Taman Cempaka, Senawang dekat sini pukul 5 petang 22 April lalu, manakala sembilan pertuduhan dilakukan di tempat yang sama pada pukul 9 malam 19 April lalu dan satu pertuduhan dilakukan di sekitar Seremban pada 10 malam hari yang sama.

Bagi setiap tuduhan dia didakwa mengikut Seksyen 16 (B)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan dengan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya SPRM, Mohd. Jasmi Buang dan Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Nor Hisham Hussain.

Pihak pendakwaan memohon tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM25,000 namun dibantah Mohd. Nor Hisham atas alasan anak guamnya tidak mampu selain perlu menanggung keluarganya.

Nursinah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 5 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kosmo! 27 Mei lalu lalu melaporkan, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis kerana mengesyaki beberapa pemain termasuk pihak pengurusan skuad bola sepak Piala Presiden negeri ini terlibat dengan kegiatan mengatur keputusan perlawanan.

No comments:

Post a Comment

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...