28 June 2012

Kosong, kosong, Oo Ooo

SEMAKIN hari, semakin parah. Ibarat layang-layang yang terputus talinya. Terumbang ambing apabila ditiup angin.

Tidak ada arah tujuan. Tidak ada perancangan masa hadapan. Tidak ada komunikasi dua hala. Jauh sekali arahan untuk melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Ibarat peribahasa Melayu, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Situasi semakin runcing. Masing-masing ada perancangan tersendiri. Masing-masing mahu menunjukkan kekuatan dan ego yang ada dalam diri sendiri. Tidak ada lagi istilah - Adam.. Stacy.. bergabung meletup!

Bagi aku, perjalanan karier aku semakin membosankan. Tidak ada arah tujuan. Tidak ada keterujaan. Hari-hari melakukan aktiviti yang sama. Meskipun banyak acara yang sedang dan akan berlangsung, aku tidak ada peluang untuk turut serta.

Aku menjadi mangsa keadaan. Menggalas tugas orang lain. Kalau aku buat silap, aku akan menerima padah tetapi kalau aku buat sesuatu yang baik, orang lain yang akan mendapat nama dan diberi pujian.

Betul kata orang tua-tua. Kehidupan di dunia yang fana ini sungguh tidak adil. Aduan orang bawahan seringkali 'ditongsampahkan' oleh pihak atasan.

Kerja berpasukan yang menjadi kekuatan kami selama ini hanya tinggal kenangan. Masing-masing ada strategi tersendiri. Apa yang pasti, masing-masing bekerja keras untuk kepenting diri sendiri (selfish).

Kepada siapa lagi harus aku mengadu nasib. Meskipun kebenaran berada di depan mata, orang bawahan seperti aku seringkali menjadi mangsa. Dituduh penderhaka...

Tapi aku tidak kisah. Bagi aku, kebenaran pasti akan muncul. Orang-orang yang dizalimi pasti mendapat pembelaan. Allah S.W.T Maha Kaya.

Apa yang perlu aku lakukan adalah melaksanakan tugas ini dengan amanah, berdisiplin, bekerja keras, berdoa dan bertawakal. Itu yang diajar dalam Islam.