08 May 2013

PRU-13 (kembali ke zaman Pak Kaduk)

Menang Sorak Kampung Tergadai...

Itulah gambaran yang sepatutnya diberikan kepada Barisan Nasional (BN - UMNO, MCA dan MIC) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 pada 3 Mei 2013 lalu.

BN yang diteraju Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya membentuk kerajaan selepas mendapat mandat daripada rakyat Malaysia.

Pada PRU-13, BN memperoleh majoriti 133 kerusi Parlimen (daripada 222 kerusi Parlimen) yang dipertandingkan iaitu kemenangan yang dianggap paling dramatik dalam sejarah.

Pembangkang (PKR, PAS dan DAP) pula memenangi 89 kerusi Parlimen.

Selain itu, BN juga dapat merampas Kedah daripada kerajaan PAS dan mempertahankan Perak yang dirampas pada 2008.

Disebalik kegembiraan memenangi PRU-13 dan merampas Kedah, BN gagal dalam misinya untuk mengambil semula Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

BN turut gagal menawan hati pengundi-pengundi di kawasan bandar di kebanyakkan negeri. Mereka hanya menang di kawasan-kawasan pedalaman dan kampung.

Lebih menyedihkan, BN gagal mendapat undi majoriti kaum Cina yang beralih kepada DAP. Situasi itu menjadi punca BN gagal merampas Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan menang tipis di Perak serta Terengganu.

Bagaimanapun, fakta sebenar disebalik keputusan PRU-13 adalah BN kalah di Semenanjung Malaysia dan mengharapkan bantuan dari Sarawak serta Sabah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.




04 May 2013

Pilihan Raya Umum 2013 (PRU-13)

 VS

JANJI ditepati atau Ini Kalilah.

Dua slogan yang meniti dibibir rakyat Malaysia sepanjang PRU-13 pada 5 Mei 2013.

Meskipun pada PRU-13 kali ini menampilkan banyak parti politik dan calon bebas, tumpuan sudah pasti terarah kepada Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO, MCA dan MIC serta Pakatan Rakyat gabungan PKR, PAS dan DAP.

BN berhasrat untuk mempertahankan kemenangan bagi membolehkan mereka meneruskan kepimpinan negara manakala PR pula mahu melakar sejarah, sekali gus mentadbir Malaysia buat pertama kalinya sejak Merdeka (31 Ogos 1957).

Persaingan dijangka sengit kerana kedua-dua parti ini mempunyai ramai penyokong tegar. Sukar untuk membuat ramalan awal siapa yang akan menang kerana mereka mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.

Tempoh berkempen sudah berakhir. Tempoh memaki hamun, mencarut, dan mengaibkan orang lain sudah tamat dan kini tiba masanya untuk diterjemahkan di kertas undi. Rakyat bakal menentukan siapa yang lebih berhak untuk mentadbir Malaysia untuk tempoh lima tahun lagi.

Rakyat Malaysia perlu mengundi mengikut pertimbangan sendiri. Penilaian sangat penting. Jangan terpengaruh dengan pujuk rayu atau dakyah wakil-wakil parti kerana mereka ada agenda yang tersendiri.

Bagi parti yang menang, mereka perlu menunaikan amanah untuk mentadbir Malaysia dengan cemerlang manakala bagi parti yang kalah, mereka perlu mengkaji semula punca kekalahan itu.

Bagi aku, siapa pun yang menang, ia tidak mengubah apa-apa. Rutin harian aku akan berjalan seperti biasa. Kehidupan perlu diteruskan.