19 November 2020

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga tahun Allahyarham Datuk Baharom Mahusin mengucapkannya. Ketika itu, kami sedang dalam perjalanan turun dari puncak Bukit Kutu di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 23 September 2018. Hanya kami berdua. Dalam keadaan hujan yang sangat lebat di tengah hutan. Air hujan yang menuruni lereng bukit di laluan turun itu umpama anak sungai. Sangat deras dan berlumpur. Trek sangat licin dan tiada tempat untuk berpaut. Beliau dalam keadaan menggigil, kesejukan dan basah kuyup. Mungkin juga haus dan kelaparan. Seluruh badan sudah diselaputi lumpur merah. Saya melihat beliau duduk di atas tanah dan menggelonsor turun ke bawah. Saya tidak ada keberanian untuk menatap wajahnya. Berasa sangat kasihan dan menyesal pula mempelawa beliau menyertai pendakian itu.
Status seorang tokoh berpangkat datuk dan ketua pengarang akhbar Kosmo! sudah dilempar jauh ke bawah. Saya hanya mampu melihat dan dalam hati tidak putus berdoa moga kami dapat keluar dengan selamat. Namun, semangat juang beliau sangat tinggi. Beliau tetap berjalan tanpa berputus ada. Malah, adakalanya beliau menolak pelawaan saya untuk membantu beliau meneruskan perjalanan. Saya sangat menyanjung tinggi semangat juang yang ditonjolkan. Sebaik sampai di bawah, kami sekali lagi diuji apabila paras air sungai yang perlu diseberangi semakin meningkat. Mujur, malim gunung dan sahabat saya yang mengetuai ekspedisi kami pada hari itu adalah seorang anggota bomba. “Saya ingat Gunung Angsi tu dah susah. Rupa-rupanya di sini lagi sudah,” katanya sambil tersenyum sebaik kami sampai ke tempat letak kereta. Banyak isu yang kami bualkan sepanjang empat jam perjalanan mendaki dan empat jam perjalanan turun. Topik perbualan bermula dari isu-isu di tempat kerja, kehidupan peribadi, masa depan syarikat sehingga ke politik dan ekonomi negara. Pendakian ke Bukit Kutu itu menjadi penanda atas beliau. Apabila saya mempelawanya menyertai aktiviti pendakian yang lain, soalan pertama yang ditanya ialah: “Susah tak? Ada susah macam Bukit Kutu tak.” Ekspedisi ke Bukit Kutu adalah pendakian kedua beliau di bawah kelab Kosmo! Hikers selepas menawan puncak Gunung Angsi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 13 Mac 2018.
Beliau adalah individu yang mencetuskan idea untuk menubuhkan kelab Kosmo! Hikers. Beliau juga banyak mengeluarkan duit poket sendiri untuk memastikan setiap aktiviti kelab berjalan lancar. Malah, beliau turut mencari penaja untuk membolehkan kami mencetak baju kelab. Pada 28 Oktober 2018, beliau meminta kami mengadakan satu lagi aktiviti di Port Dickson, Negeri Sembilan. Selain berkhemah di tepi pantai, kami turut melakukan aktiviti mendaki bukit Batu Putih.
Ia boleh dianggap sebagai jamuan perpisahan kerana beliau akan meninggalkan Kosmo! selepas memohon skim pemisahan sukarela (VSS). Selepas itu, beliau tidak lagi menyertai aktiviti pendakian yang dianjurkan Kosmo! Hikers kerana beliau dilantik sebagai pengarang akhbar Sinar Harian. Namun, beliau sentiasa mengikuti perkembangan kelab itu.
Selepas lebih setahun ‘menghilangkan diri’, beliau kembali aktif apabila menyertai kami mendaki Bukit Gasing di Petaling Jaya pada 08 Ogos 2020. Ketika itu, beliau menasihati saya supaya tidak membawa nama Kosmo! Hikers kerana saya dan beberapa rakan yang lain tidak lagi bekerja dengan akhbar Kosmo!.
Rentetan daripada itu, maka lahirlah Kembara Kosmopolitan. Bunyinya mudah. Hanya tubuhkan team Kembara Kosmopolitan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti pendakian. Namun, sebenarnya kami diberi tanggungjawab yang sangat besar. Team ini perlu menganjurkan program-program yang boleh menjana pendapatan untuk membantu ekonomi ahli-ahli Kelab Media Kosmopolitan yang terdiri daripada bekas pekerja Kosmo!. Sejak itu, kami sentiasa berhubung di telefon selain menerusi aplikasi WhatsApp. Kami juga mengadakan beberapa pertemuan di sekitar Damansara untuk membincangkan tentang proposal kelab termasuk membina laman web serta portal Kembara Kosmopolitan. Allahyarham sepatutnya mengikuti ekspedisi kami ke puncak Gunung Datuk untuk melancarkan logo kelab tetapi terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir atas kekangan kerja meskipun beliau sudah menyewa sebuah rumah inap di Rembau. Kami juga terpaksa membatalkan aktiviti pendakian ke Bukit Seladang dan Red Forest di Jerantut selain berkunjung ke Chini kerana Pelaksanaan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pada 16 September 2020, kami menganjurkan satu trip ke Air Terjun Sofea Jane di Kemensah, Kuala Lumpur. Sekali lagi beliau cakap: “dah berpuluh tahun saya tinggal di KL tapi saya tak tahu pun ada air terjun cantik di sini.”
Sepanjang berada di air terjun itu, beliau kelihatan sangat gembira dan tidak henti-henti mengambil gambar. Lepas sorang, sorang lagi peserta menjadi model beliau. Beliau sempat menyiapkan video pendek hasil gambar-gambar yang diambil. Beliau juga kelihatan sangat berselera ketika menjamah nasi berlauk ayam dan sayur yang kami sediakan. Tanpa segan silu menambah nasi ketika makan beramai-ramai di bawah khemah. Pada pertemuan terakhir di pejabat baharu kami di Neo Damansara pada 10 Oktober 2020, beliau meletakkan sasaran selama dua tahun kepada kami mengumpul dana bagi membeli bangunan untuk dijadikan pejabat sendiri. Selepas habis perbincangan di pejabat, kami berkumpul pula di kedai makan di Damansara. Banyak gambar yang beliau ambil dan beliau kelihatan seronok melihat kami menjamu selera. Kami berkumpul sehingga pukul 2 pagi.
Kini, Datuk Baharom Mahusin sudah tiada. Beliau sudah kembali ke negeri abadi pada 17 November 2020. Jasadnya sudah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur. Namun, semangatnya kekal bersama saya. Kata-katanya masih kedengaran di telinga saya. Wajahnya masih terbayang-bayang. Mana mungkin saya dapat melupakan individu yang membawa saya ke dunia kewartawanan ini. Beliau merupakan salah seorang penemu duga yang menguji kemampuan saya pada Julai 2004. Sepanjang 14 tahun berguru dengan beliau, banyak ilmu yang diperoleh. Perasaan marah, menyampah dan bertengkar dalam bilik mesyuarat adalah lumrah bagi seorang pekerja dan majikan. Namun, itu semua adalah rencah dalam dunia pekerjaan.
Terima kasih Datuk Baharom Mahusin. Moga tenang di sana dalam keberkatan-Nya. Amin… AL-FATIHAH DATUK BAHAROM MAHUSIN 03 September 1966 – 17 November 2020

18 July 2020

Aku, Kosmo! Hikers dan ...

AKU tidak pernah terfikir untuk memimpin Kosmo! Hikers. Segala-galanya bermula tanpa dirancang. Pada awal bulan Mac 2018. Datuk Baharom Mahusin yang ketika itu menjadi Pengarang Kosmo! menyuarakan hasrat untuk melakukan satu aktiviti mendaki yang turut melibatkan kakitangan di syarikat akhbar kompak itu. Idea itu tersetus mungkin disebabkan oleh kejayaan aku melengkapkan Cabaran Annapurna Base Camp Media dan Bomba Malaysia 2007 di Nepal pada 24 April hingga 5 Mac 2007.
Setelah meneliti beberapa aspek terutamanya dari segi fizikal para peserta dan teknikal lokasi yang akan didaki, aku mengambil keputusan membawa kumpulan itu ke Gunung Angsi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Maka, pada 13 Mei 2018, seramai 29 ahli Kelab Suara Kontemporari (KSK) yang juga petugas akhbar Kosmo! berjaya menawan Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut. Di sini bermulanya perjalanan Kosmo! Hikers.
Rentetan daripada kejayaan itu, kami menganjurkan satu lagi pendakian rasmi di bawah tajaan KSK ke Bukit Kutu di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Seramai 40 kakitangan Kosmo! dan ahli keluarga masing-masing menyertai misi pendakian itu.
Selain dua pendakian rasmi yang ditaja KSK itu, aku turut menbawa rakan-rakan yang mempunyai minat sama ke beberapa gunung lain antaranya Gunung Datuk di Rembau, Gunung Berembun di Jelebu, Gunung Nuang di Janda Baik dan Gunung Rajah di Bentong Pahang.
Aku juga berjaya melengkapkan misi menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah sebanyak dua kali. Kali pertama pada awal April 2019 bersama empat lagi rakan setugas manakala kali kedua pada Disember tahun yang sama yang turut disertai seramai 20 pendaki.
Tidak lengkap dengan misi itu, aku turut menbawa logo Kosmo! Hikers ke Everest Base Camp setinggi 4,130 meter dari aras laut dan Gunung Kala Patthar (5,550m) di Nepal pada 31 Ogos hingga 16 September 2019.
Lebih manis, pelakon Azhan Rani yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hamadi dalam drama Nur turut mengibarkan bendera Kosmo! Hikers di EBC. Namun, selepas Utusan Melayu (M) Berhad memberhentikan operasi perniagaan syarikat pada 9 Oktober 2019 dan aku tidak dipilih untuk menyertai akhbar baharu yang dilancarkan pada 20 Julai 2020, aku berasakan bahawa aku perlu membuat satu keputusan yang tepat. Selepas mendengar padangan rakan-rakan sependakian dan otai-otai hikers, aku mengambil keputusan untuk tidak lagi bernaung di bawah logo Kosmo! Hikers. Sampai sini sahaja jodoh kita. Ia adalah satu keputusan yang sukar tetapi memberi menfaat kepada banyak pihak.
Jadi, mulai detik dan saat ini, aku tidak ada kaitan lagi dengan Kosmo! Hikers. Cukup sampai di sini.

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...