SELAMAT tinggal tahun 2013 dan selamat datang tahun 2014.
Tahun 2013 merupakan tahun yang cukup mencabar dalam karier aku. Banyak kenangan pahit dan manis berlaku sepanjang tahun tersebut. Namun, aku berjaya melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan sempurna meskipun terpaksa melalui banyak cabaran yang sukar.
Selain melaksanakan tugas hakiki, aku juga terpaksa melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya aku lakukan demi untuk menjaga periuk nasi orang lain. Aku buat kerja yang tidak setimpal dengan jawatan dan gaji yang aku peroleh setiap bulan.
Aku tidak mengharapkan balasan meskipun ada ketikanya aku terpaksa mengorbankan jiwa dan raga aku untuk menyempurnakan tanggungjawab itu.
Bagaimanapun, ibarat melepaskan anjing yang tersepit. Nasib aku sungguh malang. Bukan penghargaan yang aku dapat tetapi kecaman dan hinaan yang datang.
Itu adalah lumrah kehidupan kerana orang atasan jarang menilai kebaikan yang dilakukan orang bawahan seperti aku. Mereka lebih suka mencari kelemahan dan kesilapan bagi menyekat sumber rezeki yang sepatutnya diperoleh.
Namun, aku puas hati dengan apa yang aku lakukan. Aku tidak melakukan kesilapan. Aku tidak menghadapi masalah disiplin atau melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Aku hanya lantang menyuarakan hak aku yang dirampas individu yang tidak bertanggungjawab. Aku cuba untuk melaksanakan tugas mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Mungkin ini menjadi modal terbaik untuk mereka menidakkan pengorbanan yang telah aku lakukan sepanjang tahun lalu.
Aku dapat rasakan bahawa aku akan menjadi 'orang buangan' dan tidak mendapat tempat dalam kalangan pihak atasan.
Apa sekalipun yang bakal menimpa aku sepanjang tahun ini, aku redha. Rezeki Allah ada di mana-mana.