25 August 2014

RAMALAN KU BENAR BELAKA

PADA 23 Julai 2014, aku ada menulis artikel mengenai situasi terbaharu kapal The Black Pearl.

Dalam artikel tersebut, aku membuat keputusan untuk menamatkan pelayaran kapal The Black Pearl yang aku cipta pada 20 Mei 2010.

Meskipun sedih, aku terpaksa menerima hakikat bahawa kapal tersebut gagal untuk diselamatkan setelah beberapa percubaan telah dilakukan.

Selepas membuat pertimbangan secara rasional berdasarkan kejadian-kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini, aku membuat pengumuman bahawa The Black Pearl sudah tenggelam.

Nasib The Black Pearl sama seperti penerbangan MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi atau MH17 yang berkecai di lokasi pejuang pemisah Ukraine pro-Rusia.

The Black Pearl hanya tinggal sejarah sama seperti kapal Titanic yang tenggelam selepas melanggar aisberg di Lautan Atlantik pada tahun 1912.



Pada masa yang sama, hati aku turut terpanggil untuk mengemas barang-barang yang terdapat di 'work station' aku. 

Semua barangan peribadi termasuk perakuan akreditasi sepanjang 10 tahun aku berkhidmat di meja sukan yang selama ini terpapar di atas meja sudah dimasukkan ke dalam kotak.

Meja aku 'terang'. Tidak ada lagi kertas, buku atau peralatan menulis berada di atas meja. Semuanya sudah bersih. Aku seakan-akan sudah dapat menduga nasib yang akan menimpa aku. Aku yakin, fighter seperti aku sudah pasti tidak ada tempat dalam hati pihak atasan.

Aku sudah bersedia untuk disingkirkan dan aku tidak takut untuk memulakan karier di lokasi yang berlainan. Pada tahun 2009 lalu, aku melalui nasib yang sama apabila dihantar ke Terengganu selama setahun.

Bagaimanapun, perancangan Allah lebih sempurna daripada perancangan manusia. Berita yang ditunggu-tunggu akhir tiba.

Pada 23 Ogos 2014, aku mendapat surat daripada pihak majikan yang bakal mencorakkan masa depan karier dan kerjaya aku.

Meskipun aku belum menerima dan membuka surat itu, spekulasi yang mendakwa aku dihantar bertugas ke sebuah negeri di selatan tanah air bertiup kencang. Namun, ramalan mereka tidak tepat dan aku kekal di sini.


Aku bangga menjadi sebahagian daripada pelopor di meja sukan dan aku bersyukur kerana aku meninggalkan mereka dengan penuh rasa hormat. 

Aku bukan ditendang tetapi Allah memberikan aku rezeki yang lebih baik apabila aku dinaikkan pangkat.

Kini, pelayaran secara solo akan bermula dan A New Chapter In My Life Begins....

01 August 2014

SEMANGAT YANG HILANG

HARI ini (01 Ogos 2014), genap 10 tahun aku membina karier sebagai seorang wartawan di sebuah akhbar kompak. 

Sembilan tahun aku bertapa di meja sukan, manakala setahun bertugas di biro Terengganu (2009).

Sepanjang tempoh itu, banyak pengajaran dan pengalaman yang aku peroleh untuk menjadi seorang wartawan yang baik.

Bermula daripada kosong, kini aku sudah boleh berbangga dengan ilmu yang aku peroleh meskipun tidak setanding dengan senior-senior aku yang lebih dulu menceburkan diri dalam bidang ini.

Satu dekad sudah berlalu dan kini aku akan memulakan langkah pertama untuk mengharungi satu dekad yang lebih mencabar pada masa hadapan.

Jika 10 tahun lalu aku cukup teruja dan bersemangat untuk menjejakkan kaki serta memulakan tugas sebagai seorang wartawan, situasi sebaliknya berlaku hari ini. Kaki ini cukup berat untuk melangkah.

Sesungguhnya, semangat aku sudah hilang. Masa depan aku semakin gelap dan karier aku seakan-seakan sudah sampai ke penghujungnya.  

Aku ibarat berjalan di dalam terowong yang tidak ada cahaya di penghujungnya. Mungkin fighter seperti aku memang sukar untuk membina karier.

Dulu, seorang senior aku pernah memberitahu. Kalau hendak kerja lama dan mendapat kedudukan di sini, aku perlu mengamalkan prinsip 'yes bos' atau menjadi 'lalang'. Di mana angin bertiup, di situlah kedudukan aku. Katanya lagi, dinding pun boleh bercakap. Pada masa itu, aku sekadar tersenyum keŕana kurang percaya dengan kata-katanya itu.

Kini, segala-galanya terbukti benar belaka. Namun, aku tidak menyesal kerana aku ada prinsip dan pegangan aku sendiri. Aku mahu menjadi diri aku sendiri. Biarlah apa orang lain nak buat atau cakap. Aku tidak peduli. Biarlah mereka dengan permainan mereka.

Bagi aku, sebagai seorang insan yang beragama Islam, aku perlu percaya pada dosa dan pahala, qada dan qadar, syurga dan neraka. Sesungguhnya, perancangan Allah itu lebih sempurna dan terbaik daripada perancangan makhluk bernama manusia. Amin.

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...