18 July 2020

Aku, Kosmo! Hikers dan ...

AKU tidak pernah terfikir untuk memimpin Kosmo! Hikers. Segala-galanya bermula tanpa dirancang. Pada awal bulan Mac 2018. Datuk Baharom Mahusin yang ketika itu menjadi Pengarang Kosmo! menyuarakan hasrat untuk melakukan satu aktiviti mendaki yang turut melibatkan kakitangan di syarikat akhbar kompak itu. Idea itu tersetus mungkin disebabkan oleh kejayaan aku melengkapkan Cabaran Annapurna Base Camp Media dan Bomba Malaysia 2007 di Nepal pada 24 April hingga 5 Mac 2007.
Setelah meneliti beberapa aspek terutamanya dari segi fizikal para peserta dan teknikal lokasi yang akan didaki, aku mengambil keputusan membawa kumpulan itu ke Gunung Angsi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Maka, pada 13 Mei 2018, seramai 29 ahli Kelab Suara Kontemporari (KSK) yang juga petugas akhbar Kosmo! berjaya menawan Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut. Di sini bermulanya perjalanan Kosmo! Hikers.
Rentetan daripada kejayaan itu, kami menganjurkan satu lagi pendakian rasmi di bawah tajaan KSK ke Bukit Kutu di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Seramai 40 kakitangan Kosmo! dan ahli keluarga masing-masing menyertai misi pendakian itu.
Selain dua pendakian rasmi yang ditaja KSK itu, aku turut menbawa rakan-rakan yang mempunyai minat sama ke beberapa gunung lain antaranya Gunung Datuk di Rembau, Gunung Berembun di Jelebu, Gunung Nuang di Janda Baik dan Gunung Rajah di Bentong Pahang.
Aku juga berjaya melengkapkan misi menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah sebanyak dua kali. Kali pertama pada awal April 2019 bersama empat lagi rakan setugas manakala kali kedua pada Disember tahun yang sama yang turut disertai seramai 20 pendaki.
Tidak lengkap dengan misi itu, aku turut menbawa logo Kosmo! Hikers ke Everest Base Camp setinggi 4,130 meter dari aras laut dan Gunung Kala Patthar (5,550m) di Nepal pada 31 Ogos hingga 16 September 2019.
Lebih manis, pelakon Azhan Rani yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hamadi dalam drama Nur turut mengibarkan bendera Kosmo! Hikers di EBC. Namun, selepas Utusan Melayu (M) Berhad memberhentikan operasi perniagaan syarikat pada 9 Oktober 2019 dan aku tidak dipilih untuk menyertai akhbar baharu yang dilancarkan pada 20 Julai 2020, aku berasakan bahawa aku perlu membuat satu keputusan yang tepat. Selepas mendengar padangan rakan-rakan sependakian dan otai-otai hikers, aku mengambil keputusan untuk tidak lagi bernaung di bawah logo Kosmo! Hikers. Sampai sini sahaja jodoh kita. Ia adalah satu keputusan yang sukar tetapi memberi menfaat kepada banyak pihak.
Jadi, mulai detik dan saat ini, aku tidak ada kaitan lagi dengan Kosmo! Hikers. Cukup sampai di sini.

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...