02 June 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

PETANG tadi, semasa aku sampai di tempat kerja, aku singgah di gerai makan di hadapan tempat kerja aku. Niat aku nak makan tengah hari. Pada masa itu, aku lihat ada salah seorang big boss aku turut berada di gerai itu. Aku buat tak nampak jer.

Bagaimanapun sebaik sahaja dia nampak aku, dia terus panggil aku dan ajak aku duduk semeja dengan dia. Aku rasa pelik dengan sikap dia. Pada mulanya aku keberatan untuk memenuhi permintaan itu tetapi demi menjaga hati dia, aku memaksa diri makan berdua dengan dia. Aku juga tak mahu dia menganggap aku ‘biadap’ sebab tak sudi makan dengan dia. Dia boss manakala aku kuli jer.

Dalam hati aku berkata, mesti ada sesuatu yang dia inginkan daripada aku kerana selama ini aku tidak pernah makan berdua dengan dia. Kiranya, hari ini dalam sejarahlah sebab aku dapat makan semeja dengan dia selepas hampir enam tahun bekerja di syarikat ini.

Sebelum aku meneruskan cerita ini, aku ingin ucapkan terima kasih kepada big boss aku itu sebab belanja aku makan tengah hari tadi.

Aku menjadi mangsa individu yang ingin mencungkil rahsia di sebalik kejadian yang berlaku

Ramalan aku benar belaka. Belum sempat aku menjamah bihun sup yang dipesan, big boss itu sudah melemparkan soalan cepu emas kepada aku. Dia cuba untuk mengorek rahsia daripada aku. Dia tanya, apa sebenarnya yang berlaku di atas kapal The Black Pearl aku.

Tapi prinsip aku tidaklah semurah teh o suam dan bihun sup yang aku makan. Aku mengambil sikap untuk berdiam diri meskipun aku lihat ada raut kecewa di wajah big boss itu. Katanya, dia tak percaya kalau aku cakap aku tak tahu apa-apa.

Aku cakap dengan dia, big boss sepatutnya lebih tahu daripada aku dan apa yang dia dengar serta nampak, itulah sebenarnya yang berlaku. Dia tidak puas hati dengan jawapan yang aku bagi itu.

Sepanjang tempoh aku makan semeja dengan dia itu, aku sungguh tertekan dan aku merasakan diri aku seolah-olah diasak ke dinding sambil diacukan pistol di kepala aku. Bertubi-tubi soalan diajukan kepada aku sampai bihun sup yang aku makan itu macam tak sedap jer.

Yang aku tak puas hati, soalan mengenai kehidupan peribadi kapten kapal aku turut ditanya. Ada ke patut dia tanya aku, kapten kapal aku tu ada girlfriend ke tidak.

Aku percepatkan makan dengan harapan dapat keluar dari gerai itu seberapa segera yang boleh.

Katanya, dia tahu apa sebenarnya yang berlaku di atas kapal aku selama ini. Sudah lama dia sedar dan pantau isu ini . Dia tahu siapa sebenarnya yang bersalah. Kini masalah itu hanya menunggu masa untuk diselesaikan.

Daripada kata-kata yang tuturkan, aku dapat membayangkan yang aku bakal mendapat seorang kapten baru. Tetapi entahlah sebab kata-kata big boss ini susah sikit aku nak percaya. Dia ni suka buat-buat macam profesor serba tahu meskipun hakikat sebenarnya dia tak tahu apa-apa pun. Aku guna pendekatan, dengar boleh, percaya jangan.

Jadi, kita tunggu dan lihat apa pulak yang berlaku selepas ini.
  

01 June 2010

SEKADAR RENUNGAN

AKU tinggalkan seketika kapal The Black Pearl yang sedang menghadapi krisis kepimpinan itu. Aku percaya, dalam tempoh terdekat pasti ada 'tangan ajaib' yang akan menyelamatkan kapal itu daripada tenggelam. Setakat ini pun sudah ada pelakon-pelakon handalan yang berhasrat untuk memegang watak hero dalam cerita itu.

Kali ini aku ingin berkongsi pengalaman atau 'kisah benar' yang aku alami sepanjang setahun bertugas di sebuah negeri di Pantai Timur tahun lalu. Ia sekadar renungan dan tidak ada kaitan dengan mana-mana individu.

* Sekadar gambar hiasan

Sebaik melapor diri untuk bertugas di persisir pantai Laut China Selatan itu, aku berusaha menyesuaikan diri dan mencari rakan baru yang boleh memberi tunjuk ajar serta membantu aktiviti harian aku.

Oleh kerana aku orang baru, aku terpaksa bekerja pada hari Jumaat iaitu hari cuti umum di negeri itu. Oleh kerana tidak banyak kerja yang perlu dilaksanakan, aku telah pergi bersarapan pagi bersama seorang staf 'veteran' di syarikat itu. Banyak perkara yang kami bincangkan sepanjang tempoh itu.

Begitupun, topik perbualan kami lebih banyak berkisar kepada rasa tidak puas hati staf veteran itu yang dikatakan sering menjadi mangsa bos dan salah seorang pekerja di syarikat itu.

Mungkin dia selesa dengan aku, pada hari-hari seterusnya kami sering keluar bersama. Aku selalu temankan dia bersarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, pergi bank dan ke kedai buku.

Paling aku tidak dapat lupa apabila dia kata: "Suatu hari nanti kalau aku jadi bos, aku akan kerjakan pekerja-pekerja yang selama ini telah menyusahkan hidup aku."

Aku layan aje sebab staf veteran ini baik hati dan pemurah. Setiap kali kami ke kedai makan, dia marah kalau aku bayar bil. Jadi, aku selalulah makan free.

Dipendekkan cerita, enam bulan kemudian staf veteran ini telah dinaikkan pangkat menjadi bos untuk menggantikan bos di syarikat itu yang dipanggil pulang ke Kuala Lumpur. Aku langsung tidak menduga perkara ini akan berlaku. Ia berlaku secara kebetulan.

Maka bermulalah episod cantas mencantas di syarikat itu kerana bos baru ini ingin membalas dendam ke atas pekerja-pekerja lain yang selama ini memandang rendah kemampuan dan langsung tidak menghormati termasuk penolongnya.

Aku bernasib baik. Oleh kerana kami menjalin hubungan yang baik, aku terlepas daripada menjadi mangsa dendam bos baru ini. Begitupun, aku mula menjadi 'musuh' kepada rakan-rakan termasuk dari syarikat yang lain. Macam-macam mereka tuduh aku tapi aku tidak kisah kerana aku tidak pernah mengambil kesempatan dan berniat jahat. Ada orang kata aku kroni bos baru. Talam dua muka dan macam-macam lagi sehingga ada yang takut untuk berkawan dengan aku. Aku tak kisah.

Namun permusuhan bos baru ini dengan penolongnya sedikit sebanyak memberi kesan kepada aku kerana bidang tugas aku di bawah kawalan penolongnya itu. Malah, setiap pergerakan dan apa yang ingin aku lakukan perlu mendapat kebenaran daripada penolong bos itu.

Jadi, aku terpaksa mengambil sikap 'tunggu dan lihat', menjaga kedua-dua hati ini dan tidak melaga-lagakan kedua-dua pemimpin ini. Aku perlu menjalin hubungan yang baik dengan kedua-dua pemimpin ini meskipun hakikatnya mereka langsung tidak boleh duduk semeja.

Kata mereka, permusuhan ini telah lama tersemat dalam hati masing-masing dan ia tidak mungkin dapat diselamatkan lagi.

Permusuhan kedua-dua pemimpin ini sampai ke klimaknya apabila bos baru ini menuduh penolongnya cuba menipu syarikat. Dengan sekelip mata, perkara ini hangat diperkatakan bukan sahaja di seluruh negeri itu tetapi sampai ke pihak atasan syarikat di Kuala Lumpur.

Sampai ke hari ini, hubungan kedua-dua pemimpin ini masih tidak baik dan mereka tidak mungkin dapat memaafkan antara satu sama lain.

Aku terpaksa melalui saat-saat yang getir ini selama enam bulan sebelum aku dipanggil pulang ke Kuala Lumpur bersama-sama dengan penolong bos itu. Hubungan aku dengan penolong bos tetap baik dan begitu juga dengan bos baru itu.

Aku balik ke Kuala Lumpur dengan harapan yang cukup besar untuk tidak lagi terbabit dalam dalam konflik kepimpinan ini. Tapi malangnya....

Dulu masa aku bekerja di Affin-ACF Finance (sekarang Affin Bank Berhad) aku juga pernah merasai pengalaman bertugas bersama watak-watak antagonis ini. Sepanjang 11 tahun bertugas di syarikat kewangan berlesen itu, aku telah bekerja di bawah kendalian beberapa bos yang majoritinya mempunyai musuh yang tersendiri.

* Moral of The Stori - Kita tidak boleh lari daripada masalah. Kemana sekalipun kita pergi, kita tetap akan berdepan dengan masalah. Jangan fikir, kalau kita berhijrah, masalah itu akan selesai. Adalah lebih baik sekiranya kita cuba menyelesaikan masalah itu dengan cara yang berhemah.
    

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...