30 June 2010

KEJUTAN PIALA DUNIA 2010

EMPAT pasukan pilihan gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Selain bekas naib juara, Perancis dan juara bertahan, Itali yang terkandas pada saingan peringkat kumpulan, England serta Portugal turut dikejutkan dengan kekalahan pada pusingan kedua.

Dua wakil Asia, Korea Selatan dan Jepun juga gagal melayakkan diri ke suku akhir meskipun mempamerkan aksi yang mengkagumkan pada saingan peringkat kumpulan.

Kekalahan Itali cukup mengecewakan. Meskipun skuad bimbingan Marcello Lippi ini dibarisi ramai pemain berstatus bintang, mereka gagal beraksi dengan baik.

Malah skuad The Azzurri ini dilihat terlalu sukar untuk menampilkan aksi yang mantap. Daripada tiga perlawanan yang diharungi, Itali hanya seri dua kali dan tewas sekali.

Itali menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan F di belakang Paraguay, Slovakia dan New Zealand.

Begitupun nasib Perancis lebih malang. Skuad bimbingan Raymond Domenech ini hanya mampu mengutip satu mata untuk menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan A.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Uruguay pada perlawanan pertama, skuad Les Blues diaibkan dengan kekalahan 0-2 kepada Mexico dan 1-2 dengan tuan rumah, Afrika Selatan.

Paling mengejutkan, Perancis dikaitkan dengan krisis dalaman yang membabitkan pemain dan jurulatih.

Tindakan Domenech menghantar pulang Nicolas Anelka yang membuat kritikan pedas di media telah menyebabkan beberapa pemain senior enggan menjalani latihan menjelang aksi terakhir menentang Afrika Selatan.

Manakala England yang tewas 1-4 kepada Jerman sekali lagi menyalahkan pengadil di atas kekalahan itu.

Skuad The Three Lions ini mendakwa keputusan pengadil dan penjaga garisan menafikan jaringan pemain tengah, Frank Lampard yang dilihat sudah melepasi garisan gol menjadi punca kepada kekalahan itu.

Bagi Portugal pula, kekalahan 0-1 kepada Sepanyol mungkin disebabkan oleh ketumpulan jentera serangan yang diketuai oleh Cristiano Ronaldo.

Ronaldo tidak berupaya untuk membantu Portugal menjadi juara dunia.

Pada aksi suku akhir yang akan bermula Sabtu ini (3 Julai 2010), dua lagi pasukan pilihan pasti pulang awal, sekali gus mengikut jejak langkah Itali, Perancis, England dan Portugal.

Selain Jerman yang akan bertemu Argentina, Brazil turut berdepan misi sukar apabila dijadualkan menentang Belanda.

Manakala Sepanyol diramal berdepan laluan mudah apabila menentang Paraguay dan satu lagi aksi suku akhir bakal menampilkan pertemuan antara Uruguay dan Ghana.   

No comments:

Post a Comment

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...