27 February 2010

FAIL MAHKAMAH DICURI

1 - 17 Januari 2010
SELEPAS dipanggil pulang ke Kuala Lumpur, aku ditempatkan di unit berita selama dua minggu sebelum kembali melakukan tugas hakiki di unit sukan.

Sepanjang tempoh itu, aku berjaya menghasilkan beberapa berita yang bertaraf nasional meskipun terpaksa berkongsi tempat duduk dan komputer.

Namun, berita mengenai kehilangan sebuah fail sulit mahkamah yang aku tulis pada 11 Januari lalu dianggap sebagai artikel terbaik yang berjaya aku hasilkan selepas lebih lima tahun bekerja di Kosmo!.

Berita ini tidak hanya melonjakkan nama aku sebagai wartawan tetapi turut 'mengegarkan' sistem kehakiman di negara ini.

Di ruang ini, aku ingin berkongsi cerita bagaimana aku memperoleh berita yang memenangi anugerah berita terbaik bulan Januari 2010 ini.

Selasa, 12 Januari 2010

Pada 11 Januari 2010, kira-kira pukul 12 tengah hari, aku mendapat arahan daripada bos aku untuk membuat susulan megenai satu sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar seorang orang awam kepada salah seorang wartawan hiburan di Kosmo!.

Menurut SMS itu, dia ingin membuat pendedahan mengenai penemuan sebuah fail yang mengandungi maklumat sulit. Aku telah menghubungi nombor telefon itu dan membuat temu janji untuk bertemu sumber bersama seorang jurugambar kira-kira pukul 3 petang.

Dua jam kemudian, big boss telah memanggil aku kerana dia inginkan maklumat mengenai kesahihan berita itu sebelum membuat keputusan untuk menggunakan berita itu di muka depan akhbar Kosmo!.

Keputusan big bos itu telah menyebabkan aku terpaksa bekerja sehingga pukul 11 malam untuk mendapatkan maklumat tambahan daripada sumber bagi menyiapkan berita itu.

Bagaimanapun, aku sumber telah menghubungi aku sehingga pukul 2 pagi kerana dia bimbang laporan berita yang aku tulis itu akan mendedahkan identitinya, sekali gus menyebabkan karier dan kerjayanya terjejas.

Selasa, 12 Januari 2010

Keesokan harinya, seawal pukul 10 pagi aku telah berada di pejabat ketua hakim negara di Putrajaya untuk mengetahui sama ada mereka sudah menerima fail sulit mahkamah itu atau sebaliknya.

Oleh kerana ketua hakim negara berada di luar negara, aku telah bertemu seorang pegawai khasnya dan beberapa jam kemudian, dia mengesahkan telah menerima fail sulit mahkamah itu.

Rabu, 13 Januari 2010

Pada pukul 12.30 tengah hari, aku telah dipanggil datang ke Mahkamah Majistret Ampang untuk bertemu seorang pegawai polis, hakim dan dua pegawai lain.

Mereka telah menyoal aku beberapa soalan termasuk bertanya bagaimana aku boleh mendapat berita itu. Aku ceritakan segala-galanya kecuali identiti sumber.

Khamis, 14 Januari 2010

Beberapa hari kemudian, aku telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya bagi membantu pihak polis menjejaki suspek.

17 February 2010

SETAHUN DI TERENGGANU

1 JANUARI - 31 DISEMBER 2009
DATANG tidak diundang, pergi tidak dihalau.

SEBENARNYA, banyak kenangan pahit dan manis yang ingin aku coretkan di sini meskipun tempoh perkhidmatan aku di Terengganu cuma setahun.
Namun, dalam tempoh yang singkat itu aku masih mampu menimba banyak pengalaman dan ilmu yang boleh dijadikan panduan pada masa hadapan.

Bekerja di bawah dua ketua biro (Nor Aziah Jaafar dan Wan Ramli Wan Muhamad) dan seorang penolong ketua biro (Haradiah Shah Hamdan) adalah satu pengalaman yang tidak mungkin akan lenyap dalam ingatan aku.

Secara langsung atau tidak langsung, mereka banyak membantu dan membimbing aku terutamanya dalam penulisan berita sejak hari pertama aku menjejakkan kaki di Terengganu.

Dari pejabat lama di Jalan Cherong Lanjut sehingga ke pejabat baru di Pusat Niaga Paya Keladi, aku sentiasa belajar bagaimana mahu menjadi seorang wartawan yang dihormati kerana itu adalah matlamat utama aku. 

Meskipun dibayangi insiden 'permusuhan' sesama sendiri, aku masih mampu bertahan dan kekal tidak memihak pada mana-mana individu biarpun kadang-kala aku digelar 'kaki bodek'.

Aku tidak peduli dengan gelaran itu kerana aku ada prinsip aku sendiri. Apa yang penting, aku dapat menimba ilmu dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di tempat orang tanpa kehadiran isteri dan anak-anak aku.

Alhamdulillah, sehingga sekarang aku masih menjalin hubungan yang baik dan sekali sekala berhubung dengan mereka.


Malam Anugerah Kawat-ExxonMobil 2009

Kembali kepada pengalaman aku bekerja di Terengganu, aku berhijrah ke negeri Pantai Timur itu tanpa membawa apa-apa bekalan. Aku tidak ada pengalaman menulis artikel berbentuk berita, jenayah, mahkamah, rencana dan hiburan kerana sepanjang empat tahun bekerja di Kosmo!, aku hanya ditempatkan di unit sukan.

Bayangkan bagaimana situasi aku ketika itu. Macam mana aku ingin melaksanakan tugas aku dengan baik sekiranya aku tidak ada pengalaman untuk berbuat demikian.

Aku bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan seperjuangan yang baik. Selain rakan-rakan sekerja aku di Kosmo! dan Utusan, aku juga mendapat layanan yang baik daripada rakan-rakan di syarikat media yang lain. Terima kasih kepada mereka yang banyak membantu aku.

Namun, tempoh setahun belum cukup untuk aku meneroka segenap bumi Terengganu. Aku tidak pernah menjejakkan kaki ke daerah Besut, Pulau Perhentian, Pulau Redang, Tasik Kenyir dan beberapa lokasi yang lain.

Manakala satu-satunya pulau yang sempat aku tinjau adalah Pulau Kapas dan Pulau Bidong. Jadi, secaran dasarnya, aku belum puas tinggal di Terengganu.

Bagaimanapun panggilan telefon yang aku terima dari Pengarang Kosmo! yang memberitahu bahawa aku dipanggil pulang semula ke Kuala Lumpur adalah satu berita yang cukup menggembirakan. Aku bukan mahu lari dari tanggungjawab atau rakan-rakan.

Aku teruja untuk kembali berada disamping isteri dan anak-anak yang tersayang. Aku tidak pernah meminta untuk pergi ke Terengganu dan aku tidak pernah meminta untuk pulang semula ke Kuala Lumpur. Allah Maha Berkuasa. Ada hikmah disebalik semua kejadian itu.

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...