17 February 2010

SETAHUN DI TERENGGANU

1 JANUARI - 31 DISEMBER 2009
DATANG tidak diundang, pergi tidak dihalau.

SEBENARNYA, banyak kenangan pahit dan manis yang ingin aku coretkan di sini meskipun tempoh perkhidmatan aku di Terengganu cuma setahun.
Namun, dalam tempoh yang singkat itu aku masih mampu menimba banyak pengalaman dan ilmu yang boleh dijadikan panduan pada masa hadapan.

Bekerja di bawah dua ketua biro (Nor Aziah Jaafar dan Wan Ramli Wan Muhamad) dan seorang penolong ketua biro (Haradiah Shah Hamdan) adalah satu pengalaman yang tidak mungkin akan lenyap dalam ingatan aku.

Secara langsung atau tidak langsung, mereka banyak membantu dan membimbing aku terutamanya dalam penulisan berita sejak hari pertama aku menjejakkan kaki di Terengganu.

Dari pejabat lama di Jalan Cherong Lanjut sehingga ke pejabat baru di Pusat Niaga Paya Keladi, aku sentiasa belajar bagaimana mahu menjadi seorang wartawan yang dihormati kerana itu adalah matlamat utama aku. 

Meskipun dibayangi insiden 'permusuhan' sesama sendiri, aku masih mampu bertahan dan kekal tidak memihak pada mana-mana individu biarpun kadang-kala aku digelar 'kaki bodek'.

Aku tidak peduli dengan gelaran itu kerana aku ada prinsip aku sendiri. Apa yang penting, aku dapat menimba ilmu dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di tempat orang tanpa kehadiran isteri dan anak-anak aku.

Alhamdulillah, sehingga sekarang aku masih menjalin hubungan yang baik dan sekali sekala berhubung dengan mereka.


Malam Anugerah Kawat-ExxonMobil 2009

Kembali kepada pengalaman aku bekerja di Terengganu, aku berhijrah ke negeri Pantai Timur itu tanpa membawa apa-apa bekalan. Aku tidak ada pengalaman menulis artikel berbentuk berita, jenayah, mahkamah, rencana dan hiburan kerana sepanjang empat tahun bekerja di Kosmo!, aku hanya ditempatkan di unit sukan.

Bayangkan bagaimana situasi aku ketika itu. Macam mana aku ingin melaksanakan tugas aku dengan baik sekiranya aku tidak ada pengalaman untuk berbuat demikian.

Aku bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan seperjuangan yang baik. Selain rakan-rakan sekerja aku di Kosmo! dan Utusan, aku juga mendapat layanan yang baik daripada rakan-rakan di syarikat media yang lain. Terima kasih kepada mereka yang banyak membantu aku.

Namun, tempoh setahun belum cukup untuk aku meneroka segenap bumi Terengganu. Aku tidak pernah menjejakkan kaki ke daerah Besut, Pulau Perhentian, Pulau Redang, Tasik Kenyir dan beberapa lokasi yang lain.

Manakala satu-satunya pulau yang sempat aku tinjau adalah Pulau Kapas dan Pulau Bidong. Jadi, secaran dasarnya, aku belum puas tinggal di Terengganu.

Bagaimanapun panggilan telefon yang aku terima dari Pengarang Kosmo! yang memberitahu bahawa aku dipanggil pulang semula ke Kuala Lumpur adalah satu berita yang cukup menggembirakan. Aku bukan mahu lari dari tanggungjawab atau rakan-rakan.

Aku teruja untuk kembali berada disamping isteri dan anak-anak yang tersayang. Aku tidak pernah meminta untuk pergi ke Terengganu dan aku tidak pernah meminta untuk pulang semula ke Kuala Lumpur. Allah Maha Berkuasa. Ada hikmah disebalik semua kejadian itu.

No comments:

Post a Comment

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...