27 September 2010

SUKA DALAM DUKA

 BEBERAPA hari lagi, aku akan menjejakkan kaki ke bumi India.

Bukan untuk melancong tetapi melaksanakan tugas pada temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi. Banyak perkara yang bermain di kotak fikiran aku ketika ini.

Bukan tugas yang menjadi bebanan tetapi persekitaran di bumi New Delhi itu yang meletakkan aku dalam situasi kebimbangan.

Selain ancaman wabak taun dan denggi, aku juga bakal berdepan faktor kebersihan, keselamatan termasuk ancaman pengganas.

Tetapi apa yang lebih merisaukan aku adalah struktur bangunan yang tidak kukuh terutamanya selepas insiden sebuah jejantas yang sedang dalam pembinaan berhampiran stadium utama di ibu negara India ini runtuh pada Selasa lalu.

Insiden itu mengingatkan semula aku kepada kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan di Kuala Terengganu yang menyembah bumi tahun lalu.

Meskipun ketika insiden itu berlaku aku tidak berada di tempat kejadian, ia memberi pengalaman yang cukup berguna sepanjang setahun aku bertugas di sana.

Sejak beberapa hari lalu, bermacam-macam kejadian pelik dan ganjil berlaku di New Delhi.

Selepas katil petinju India runtuh sejurus dia duduk selepas memasuki pangsapuri di perkampungan atlet, beberapa penangkap ular dilaporkan berjaya menangkap seekor ular jenis Cobra yang bersembunyi dalam pusat tenis yang baru siap dibina.

Mungkin berita ini dianggap lawak tetapi itulah situasi yang bakal aku hadapi sepanjang 16 hari di sana.

Ini tidak termasuk masalah penginapan, kenderaan untuk ke lokasi-lokasi utama dan makanan halal sepanjang aku berada di sana.

Apa pun, tugas perlu dilaksanakan kerana ini adalah amanah yang aku pikul. Apa sekalipun dugaan yang datang, aku akan hadapinya dengan tenang. Harap-harap, segala-galanya akan berjalan lancar. Insyaalah.

No comments:

Post a Comment

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...