LONDON – Pemain sayap Arsenal, Theo Walcott dilaporkan mahu mengikut jejak langkah Robin van Persie untuk meninggalkan skuad The Gunners.
Bintang England berusia 23 tahun itu kecewa dengan keputusan van Persie yang tidak mahu menyambung kontraknya di Stadium Emirates.
Ketika ini, situasi Walcott sama seperti penyerang Belanda itu.
Kedua-dua pemain ini memasuki tahun terakhir kontraknya bersama Arsenal.
Walcott seringkali menegaskan bahawa dia sentiasa komited dengan masa depannya sebelum van Persie mendedahkan keengganannya menyambung kontrak bersama pasukan itu.
Walcott dan van Persie merupakan rakan karib dan sangat rapat ketika di dalam dan di luar padang.
Keputusan drastik van Persie ini memberi impak yang besar kepada Chelsea bagi mendapatkan Walcott.
Perbincangan tidak rasmi antara Arsenal dan ejen Walcott dilaporkan telah diadakan baru-baru ini.
Di atas kertas, kontrak baharu selama empat tahun itu bakal membolehkan Walcott menerima kenaikan gaji yang besar.
Namun, dia mempunyai pilihan untuk meninggalkan Arsenal dengan yuran perpindahan percuma pada Ogos 2013 atau dijual sekarang sekiranya skuad The Gunners tidak mahu mengalami kerugian besar.
Bagi mengelak perkara itu daripada berlaku, Arsenal perlu serius dengan tawaran yang dikemukakan dan menyediakan dana yang besar sekiranya mereka gagal mempertahankan van Persie.
Sementara itu, Arsenal dilaporkan mahu mengemukakan laporan kepada Persatuan Bola Sepak (FA) England kerana mendakwa Manchester City cuba mendapatkan van Persie secara tidak sah.
Skuad The Gunners yakin, ejen van Persie iaitu Kees Vos telah menghubungi juara Liga Perdana England itu.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dan ketua eksekutif, Ivan Gazidis menghubungi Voc kelmarin untuk menyuarakan kemarahan berhubung pengumuman van Persie yang dibuat dalam Twitternya. – Agensi
No comments:
Post a Comment