16 December 2012

Rajagobal tak ada daulat


“SAYA kenal pemain-pemain saya.”

Itulah kata-kata 'keramat' yang keluar daripada mulut Rajagobal untuk mematahkan segala teguran dan kritikan yang dilemparkan kepadanya.

Malang sekali, pemain-pemain yang dikenalinya itu tidak mampu untuk menterjemahkan kejayaan seperti mana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.

Kekecewaan dan kesedihan masih dirasai meskipun sudah beberapa hari Harimau Malaya gagal mempertahankan gelaran juara Piala Suzuki AFF 2012.

Banyak pihak cuba 'menangguk di air yang keruh' sambil mengambil kesempatan untuk memberi kritikan dan andaian masing-masing disebalik kekelahan itu.

Bagi ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, kegagalan itu berpunca daripada pengadil perlawanan, Lee Minhu dari Korea Selatan.

Lee Minhu dituduh tidak profesional kerana membuat keputusan berat sebelah' sepanjang perlawanan yang berkesudahan Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai pada 13 Disember lalu.

Menurut Rajagobal, keputusan Lee Minhu melayangkan kad merah kepada Mohamad Fadhli Shas telah menjejaskan corak permainan para pemain negara.

Selain itu, Rajagobal turut menyalahkan Thailand kerana menyediakan padang latihan yang tidak menepati spesifikasi beberapa hari sebelum perlawanan berlangsung.

Situasi tersebut menghalang beliau untuk membuat latihan taktikal dan merancang strategi ampuh bagi menghadapi perlawanan penting itu.

Bagaimanapun, itu semua adalah alasan Rajagobal semata-mata bagi 'menutup' kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukannya.

Alasan itu tidak dapat memuaskan hati banyak pihak kerana ramai pemerhati, peminat dan rakyat Malaysia merasakan kekalahan itu berpunca daripada kesilapan Rajagobal sendiri.

Lantaran itu, Rajagobal perlu bertanggungjawab dan beliau didesak untuk meletak jawatan. Itu adalah jalan terbaik...

Rajagobal melakukan banyak kesilapan. Sebelum kejohanan bermula lagi, beliau sudah melukakan hati rakyat Malaysia.

Beliau enggan menerima kritikan dan bersikap ego meskipun skuad negara kalah dalam beberapa siri perlawanan persahabatan.

Selain pemilihan pemain yang tidak tepat, strategi beliau juga tidak sesuai dengan corak permainan yang ditampilkan.

Setiap tahun, kempen Liga Premier dan Liga Super menjadi pentas utama buat para pemain negara untuk mempamerkan bakat masing-masing.

Sebaiknya, beliau memilih pemain yang betul-betul berada pada prestasi terbaik untuk menyarung jersi Harimau Malaya. Umur tidak boleh dijadikan syarat.

Indonesia dan Singapura tampil dengan beberapa pemain veteran yang sudah sampai 'ke penghujung karier' tetapi masih mampu untuk beraksi dengan baik.

Jadi, sudah sampai masanya Rajagobal meletak jawatan. Tidak perlu tunggu kempen kelayakan Piala Asia 2015. Rata-rata penyokong Harimau Malaysia tidak mahu kecewa lagi.

Rajagobal sudah ketandusan idea. Apa yang ada cuma perasaan ego dan syok sendiri.

Kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010 bukan satu jaminan untuk beliau terus membimbing Harimau Malaya.

Rekod kejayaan lalu tidak boleh menjadi sandaran dan ia bukan satu jaminan untuk beliau terus berkuasa.

Jadi, Rajagobal tidak kebal. Beliau bukan seperti Raja-Raja Melayu yang ada daulat. Tidak menderhaka sekiranya rakyat Malaysia mendesak beliau meletak jawatan untuk kebaikan semua orang.

13 December 2012

Jumpa lagi tahun 2014


BERAKHIR sudah perjuangan Harimau Malaya pada kempen Piala Suzuki AFF 2012.

Tampil dengan status selaku juara bertahan, cabaran anak-anak buah Datuk K. Rajagobal terkandas di separuh akhir.

Selepas seri 1-1 pada pertemuan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil (9 Disember 2012), Harimau Malaya tewas 0-2 di Stadium Supachalasai, Bangkok (13 Disember 2012), sekali gus kalah dengan agregat 1-3.

Kekalahan ini memberikan banyak pengajaran yang berguna kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

FAM perlu melakukan post mortem, mengenalpasti punca sebenar kekalahan ini.

Siapa yang bersalah - Rajagobal atau pemain-pemain Malaysia?

Bagaimanapun, Rajagobal perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini.

Selepas dinobatkan selaku juara pada 2010, Rajagobal mempunyai masa yang mencukupi untuk membentuk skuad yang mantap.

Namun, eksperimen Rajagobal serba tidak menjadi.

Rajagobal ternyata melakukan kesilapan besar dalam aspek pemilihan pemain.

Ada pemain yang tidak sepatutnya bermain diturunkan dan begitu juga sebaliknya.

Sayang sekali apabila penyerang terbaik negara, Mohd. Safee Sali sekadar menjadi pemain gantian dan lebih banyak memanaskan bangku simpanan. Begitu juga dengan beberapa pemain negara yang lain.

Mungkin Rajagobal ada alasan tersendiri kenapa beliau berbuat demikian tetapi penyokong dan rakyat Malaysia juga ada sebab yang munasabah.

Akhir sekali, jersi biru merah yang menjadi kebanggaan Rajagobal tidak lagi membawa tuah.

Mungkin sudah sampai masanya pemain-pemain Harimau Malaya kembali memakai jersi kuning hitam.

12 December 2012

Jersi kuning atau biru?

JERSI warna kuning hitam atau biru merah.

Mana satu jersi utama skuad Harimau Malaya dan yang mana satu jersi 'home' serta 'away'?

Secara tradisinya, jersi kuning adalah jersi utama untuk skuad bola sepak kebangsaan sejak dahulu lagi.

Jersi ini sudah diguna pakai sejak bertahun-tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, jersi biru menjadi pilihan ketua jurulatih, Datuk K. Ragagobal.

Menurut Ragagobal, jersi kuning sering membawa nasib malang tetapi jersi biru membawa tuah.

Bermain di gelanggang sendiri pakai jersi biru dan bermain di gelanggang lawan juga memakai jersi biru.

Bila masa hendak pakai jersi kuning yang menjadi kebanggaan Harimau Malaya?

Sepanjang empat perlawanan pada kempen Piala Suzuki AFF 2012, skuad negara memakai jersi biru.

Kalau hendak kata tuah, skuad negara tewas 0-3 kepada Singapura, menang 4-1 ke atas Laos, menewaskan Indonesia 2-0 dan seri 1-1 dengan Thailand.

Manakala pada aksi pemanas badan, skuad negara tewas 0-1 kepada Vietnam, 0-2 dengan Thailand sebelum sekadar seri 1-1 kepada Hong Kong dan Bangladesh.

Jadi, bertuah sangat ke kalau skuad negara pakai jersi biru.

Kenapa pemimpin-pemimpin tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tunduk dengan desakan Ragagobal.

Majoriti pemimpin tertinggi FAM berbangsa Melayu dan beragama Islam tetapi kenapa perlu percaya pada tuah dan nasib.

Sebaiknya, FAM pertahankan prinsip mereka dan menetapkan syarat bahawa skuad negara perlu memakai jersi kuning apabila bermain di gelanggang sendiri dan jersi biru di tempat lawan.

Apakah FAM sudah mengubah peraturan ini?

 

Kalau FAM sudah ubah peraturan, banyak perkara juga perlu ditukar.

Warna kuning dan hitam pada logo FAM juga perlu ditukar kepada warna biru. Begitu juga dengan gambar Harimau Malaya yang menjadi kebanggaan  Ultras Malaya.


Ada antara para penyokong turut kecewa apabila skuad negara memakai jersi biru ketika bermain di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Rata-rata penyokong yang hadir ke stadium keramat itu memakai jersi kuning tetapi para pemain memakai jersi biru.

11 December 2012

Selamanya Harimau Malaya

'Harimau Malaya usah ragui sokongan kami'

SKUAD Harimau Malaya tidak perlu menagih sokongan padu para penyokong menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2012 menentang Thailand di Stadium Supachalasai, Bangkok pada 13 Disember ini.

Biar apa sekalipun keputusannya, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal yang berdepan misi sukar selepas seri 1-1 pada pertemuan pertama 9 Disember lalu boleh menghadapi perlawanan penting itu dengan mental yang tenang.

Ribuan penonton yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin memberi jaminan bahawa insiden 'amokan' seperti mana yang berlaku selepas skuad negara tewas 0-3 kepada Singapura pada aksi pertama peringkat kumpulan lalu tidak akan berulang lagi.

Rata-rata para penyokong berpuas hati dengan persembahan skuad negara yang semakin menunjukkan peningkatan berbanding pada perlawanan sebelum ini.

Perasaan puas itu sudah diterjemahkan dan ia dapat dilihat dengan jelas sebelum serta selepas perlawanan menentang Thailand kelmarin.

Pada hari tersebut, para penyokong mula membanjiri stadium seawal pukul 3 petang dan jumlah mereka bertambah ramai menjelang sepak mula pada pukul 8 malam.

Hujan lebat langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk memberikan sokongan moral kepada para pemain negara bagi menghadapi perlawanan itu.

Lagu Selamanya Harimau Malaya dan Inilah Barisan Kita dilaung secara beramai-ramai tanpa henti sepanjang perlawanan itu berlangsung, sekali gus berjaya menyuntik semangat para pemain untuk menghadapi Thailand yang turun selaku pasukan pilihan berdasarkan rekod pertemuan kedua- dua pasukan sebelum ini.

Aksi 'pemain ke-12' ini memberikan impak yang besar dan ia berjaya direalisasikan seperti mana yang diharapkan.

Daripada ribuan penonton yang hadir, mungkin hanya satu peratus sahaja yang bertindak liar dengan membakar mercun dan melakukan pancaran leser kepada pemain pasukan pelawat manakala selebihnya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

"Bangkitlah wahai Harimau Malaya. Teruskan perjuanganmu. Usah bimbang kerana kami sentiada berada di belakang kamu," kata salah seorang penyokong yang ditemui penulis pada malam tersebut.

Situasi tersebut berbeza dengan keadaan yang berlaku ketika skuad negara tewas kepada Singapura pada perlawanan pertama lalu.

Para penyokong yang tidak berpuas hati dengan percaturan ketua jurulatih dan mutu persembahan pemain bertindak diluar jangkaan apabila 'mengepong' bas yang membawa pemain sambil mendesak Rajagobal memberi penjelasan.

Bagaimanapun, situasi itu boleh dilihat dari sudut positif kerana ia dianggap sebagai satu suntikan semangat secara senyap kepada barisan pemain negara.

Hasilnya, skuad negara menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan seterusnya dengan membelasah Laos 4-1 dan Indonesia 2-0, sekali gus menempah slot ke separuh akhir untuk mengatur pertemuan bersama Thailand.

Namun, misi Harimau Malaya belum berakhir dan mereka perlu bekerja lebih keras dengan menewaskan Thailand jika mahu mengekalkan status selaku juara bertahan, sekali gus membalas semula kepercayaan yang diberikan para penyokong.

Lantaran itu, para pengkritk yang mempersoalkan kesetiaan dan tindakan penyokong-penyokong kepada skuad Harimau Malaya sebelum ini perlu menutup mulut mereka.

Tuduhan pengkritik bahawa para penyokong Harimau Malaya tidak patriotik adalah sesuatu yang tidak berasas.

Mungkin mereka yang mengkritik itu tidak merasai sendiri apa yang dirasai para penyokong. Mungkin mereka tidak pergi ke stadium atau sekadar menonton di televisyen.

Kalau pergi ke stadium pun, mereka mungkin mendapat tiket percuma, masuk ikut laluan khas dan duduk di ruang yang dikhaskan untuk golongan-golongan VIP.

Berbanding pada penyokong, mereka terpaksa beratur panjang untuk membeli tiket, datang seawal pukul 3 petang untuk masuk stadium, basah meredah hujan, berpusing-pusing untuk mencari tempat duduk yang kosong dan bersesak-sesak untuk pulang menaiki tren LRT.

Bagaimanapun, kami (para penyokong) tetap gembira, seronok dan teruja untuk kembali ke stadium...

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...