'Harimau Malaya usah ragui sokongan kami'
SKUAD Harimau Malaya tidak perlu menagih sokongan padu para penyokong menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2012 menentang Thailand di Stadium Supachalasai, Bangkok pada 13 Disember ini.
Biar apa sekalipun keputusannya, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal yang berdepan misi sukar selepas seri 1-1 pada pertemuan pertama 9 Disember lalu boleh menghadapi perlawanan penting itu dengan mental yang tenang.
Ribuan penonton yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin memberi jaminan bahawa insiden 'amokan' seperti mana yang berlaku selepas skuad negara tewas 0-3 kepada Singapura pada aksi pertama peringkat kumpulan lalu tidak akan berulang lagi.
Rata-rata para penyokong berpuas hati dengan persembahan skuad negara yang semakin menunjukkan peningkatan berbanding pada perlawanan sebelum ini.
Perasaan puas itu sudah diterjemahkan dan ia dapat dilihat dengan jelas sebelum serta selepas perlawanan menentang Thailand kelmarin.
Pada hari tersebut, para penyokong mula membanjiri stadium seawal pukul 3 petang dan jumlah mereka bertambah ramai menjelang sepak mula pada pukul 8 malam.
Hujan lebat langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk memberikan sokongan moral kepada para pemain negara bagi menghadapi perlawanan itu.
Lagu Selamanya Harimau Malaya dan Inilah Barisan Kita dilaung secara beramai-ramai tanpa henti sepanjang perlawanan itu berlangsung, sekali gus berjaya menyuntik semangat para pemain untuk menghadapi Thailand yang turun selaku pasukan pilihan berdasarkan rekod pertemuan kedua- dua pasukan sebelum ini.
Aksi 'pemain ke-12' ini memberikan impak yang besar dan ia berjaya direalisasikan seperti mana yang diharapkan.
Daripada ribuan penonton yang hadir, mungkin hanya satu peratus sahaja yang bertindak liar dengan membakar mercun dan melakukan pancaran leser kepada pemain pasukan pelawat manakala selebihnya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.
"Bangkitlah wahai Harimau Malaya. Teruskan perjuanganmu. Usah bimbang kerana kami sentiada berada di belakang kamu," kata salah seorang penyokong yang ditemui penulis pada malam tersebut.
Situasi tersebut berbeza dengan keadaan yang berlaku ketika skuad negara tewas kepada Singapura pada perlawanan pertama lalu.
Para penyokong yang tidak berpuas hati dengan percaturan ketua jurulatih dan mutu persembahan pemain bertindak diluar jangkaan apabila 'mengepong' bas yang membawa pemain sambil mendesak Rajagobal memberi penjelasan.
Bagaimanapun, situasi itu boleh dilihat dari sudut positif kerana ia dianggap sebagai satu suntikan semangat secara senyap kepada barisan pemain negara.
Hasilnya, skuad negara menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan seterusnya dengan membelasah Laos 4-1 dan Indonesia 2-0, sekali gus menempah slot ke separuh akhir untuk mengatur pertemuan bersama Thailand.
Namun, misi Harimau Malaya belum berakhir dan mereka perlu bekerja lebih keras dengan menewaskan Thailand jika mahu mengekalkan status selaku juara bertahan, sekali gus membalas semula kepercayaan yang diberikan para penyokong.
Lantaran itu, para pengkritk yang mempersoalkan kesetiaan dan tindakan penyokong-penyokong kepada skuad Harimau Malaya sebelum ini perlu menutup mulut mereka.
Tuduhan pengkritik bahawa para penyokong Harimau Malaya tidak patriotik adalah sesuatu yang tidak berasas.
Mungkin mereka yang mengkritik itu tidak merasai sendiri apa yang dirasai para penyokong. Mungkin mereka tidak pergi ke stadium atau sekadar menonton di televisyen.
Kalau pergi ke stadium pun, mereka mungkin mendapat tiket percuma, masuk ikut laluan khas dan duduk di ruang yang dikhaskan untuk golongan-golongan VIP.
Berbanding pada penyokong, mereka terpaksa beratur panjang untuk membeli tiket, datang seawal pukul 3 petang untuk masuk stadium, basah meredah hujan, berpusing-pusing untuk mencari tempat duduk yang kosong dan bersesak-sesak untuk pulang menaiki tren LRT.
Bagaimanapun, kami (para penyokong) tetap gembira, seronok dan teruja untuk kembali ke stadium...
No comments:
Post a Comment