25 August 2014

RAMALAN KU BENAR BELAKA

PADA 23 Julai 2014, aku ada menulis artikel mengenai situasi terbaharu kapal The Black Pearl.

Dalam artikel tersebut, aku membuat keputusan untuk menamatkan pelayaran kapal The Black Pearl yang aku cipta pada 20 Mei 2010.

Meskipun sedih, aku terpaksa menerima hakikat bahawa kapal tersebut gagal untuk diselamatkan setelah beberapa percubaan telah dilakukan.

Selepas membuat pertimbangan secara rasional berdasarkan kejadian-kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini, aku membuat pengumuman bahawa The Black Pearl sudah tenggelam.

Nasib The Black Pearl sama seperti penerbangan MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi atau MH17 yang berkecai di lokasi pejuang pemisah Ukraine pro-Rusia.

The Black Pearl hanya tinggal sejarah sama seperti kapal Titanic yang tenggelam selepas melanggar aisberg di Lautan Atlantik pada tahun 1912.



Pada masa yang sama, hati aku turut terpanggil untuk mengemas barang-barang yang terdapat di 'work station' aku. 

Semua barangan peribadi termasuk perakuan akreditasi sepanjang 10 tahun aku berkhidmat di meja sukan yang selama ini terpapar di atas meja sudah dimasukkan ke dalam kotak.

Meja aku 'terang'. Tidak ada lagi kertas, buku atau peralatan menulis berada di atas meja. Semuanya sudah bersih. Aku seakan-akan sudah dapat menduga nasib yang akan menimpa aku. Aku yakin, fighter seperti aku sudah pasti tidak ada tempat dalam hati pihak atasan.

Aku sudah bersedia untuk disingkirkan dan aku tidak takut untuk memulakan karier di lokasi yang berlainan. Pada tahun 2009 lalu, aku melalui nasib yang sama apabila dihantar ke Terengganu selama setahun.

Bagaimanapun, perancangan Allah lebih sempurna daripada perancangan manusia. Berita yang ditunggu-tunggu akhir tiba.

Pada 23 Ogos 2014, aku mendapat surat daripada pihak majikan yang bakal mencorakkan masa depan karier dan kerjaya aku.

Meskipun aku belum menerima dan membuka surat itu, spekulasi yang mendakwa aku dihantar bertugas ke sebuah negeri di selatan tanah air bertiup kencang. Namun, ramalan mereka tidak tepat dan aku kekal di sini.


Aku bangga menjadi sebahagian daripada pelopor di meja sukan dan aku bersyukur kerana aku meninggalkan mereka dengan penuh rasa hormat. 

Aku bukan ditendang tetapi Allah memberikan aku rezeki yang lebih baik apabila aku dinaikkan pangkat.

Kini, pelayaran secara solo akan bermula dan A New Chapter In My Life Begins....

01 August 2014

SEMANGAT YANG HILANG

HARI ini (01 Ogos 2014), genap 10 tahun aku membina karier sebagai seorang wartawan di sebuah akhbar kompak. 

Sembilan tahun aku bertapa di meja sukan, manakala setahun bertugas di biro Terengganu (2009).

Sepanjang tempoh itu, banyak pengajaran dan pengalaman yang aku peroleh untuk menjadi seorang wartawan yang baik.

Bermula daripada kosong, kini aku sudah boleh berbangga dengan ilmu yang aku peroleh meskipun tidak setanding dengan senior-senior aku yang lebih dulu menceburkan diri dalam bidang ini.

Satu dekad sudah berlalu dan kini aku akan memulakan langkah pertama untuk mengharungi satu dekad yang lebih mencabar pada masa hadapan.

Jika 10 tahun lalu aku cukup teruja dan bersemangat untuk menjejakkan kaki serta memulakan tugas sebagai seorang wartawan, situasi sebaliknya berlaku hari ini. Kaki ini cukup berat untuk melangkah.

Sesungguhnya, semangat aku sudah hilang. Masa depan aku semakin gelap dan karier aku seakan-seakan sudah sampai ke penghujungnya.  

Aku ibarat berjalan di dalam terowong yang tidak ada cahaya di penghujungnya. Mungkin fighter seperti aku memang sukar untuk membina karier.

Dulu, seorang senior aku pernah memberitahu. Kalau hendak kerja lama dan mendapat kedudukan di sini, aku perlu mengamalkan prinsip 'yes bos' atau menjadi 'lalang'. Di mana angin bertiup, di situlah kedudukan aku. Katanya lagi, dinding pun boleh bercakap. Pada masa itu, aku sekadar tersenyum keŕana kurang percaya dengan kata-katanya itu.

Kini, segala-galanya terbukti benar belaka. Namun, aku tidak menyesal kerana aku ada prinsip dan pegangan aku sendiri. Aku mahu menjadi diri aku sendiri. Biarlah apa orang lain nak buat atau cakap. Aku tidak peduli. Biarlah mereka dengan permainan mereka.

Bagi aku, sebagai seorang insan yang beragama Islam, aku perlu percaya pada dosa dan pahala, qada dan qadar, syurga dan neraka. Sesungguhnya, perancangan Allah itu lebih sempurna dan terbaik daripada perancangan makhluk bernama manusia. Amin.

23 July 2014

BELASUNGKAWA BUAT THE BLACK PEARL

PADA 20 Mei 2010, aku menulis satu artikel bertajuk The Black Pearl dalam blog ini. Cerita dalam artikel itu banyak berkisar mengenai asal usul, dasar pemerintahan dan perjalanan kehidupan anak-anak kapal sepanjang enam tahun berada di atas kapal itu.

Banyak pengorbanan dan 'terkorban' yang berlaku sepanjang tempoh itu meskipun pada dasarnya, kapal tersebut berlayar dengan gah di lautan samudera yang luas.


Bagaimanapun, cerita tersebut tidak berahir di situ apabila aku menulis satu lagi artikel yang bertajuk Wajah Baharu The Black Pearl pada 01 November 2011.

Artikel kedua lebih banyak menceritakan mengenai penstrukturan semula dasar pemerintahan di atas kapal tersebut. Penolong kapten diberi kuasa untuk mentadbir selepas kapten direhatkan seketika kerana menghadapi masalah kesihatan.

Penolong kapten melakukan beberapa perubahan dan menetapkan hala tuju kapal tersebut agar ia kembali berada di landasan yang tepat.


Namun, ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tempoh pentadbiran penolong kapten tidak kekal lama. Kapten mengambilalih semula tugas itu sebaik pulih daripada kecederaan. Lebih malang, kapten tampil dengan perwatakan yang lebih dasyat selepas mendapat sokongan padu daripada pihak pemerintah.

The Black Pearl kembali pada kedudukan asal. Terumbang-ambing dan belayar tanpa hala tuju. Keadaan menjadi semakin buruk dan tidak terkawal selepas kapten bijak bermain 'wayang' dan mendapat 'bantuan kemanusiaan' daripada pemerintah.

Aku yakin,  The Black Pearl tidak mampu diselamatkan lagi meskipun baru-baru ini ada seorang anak kapal yang baru beberapa tahun berada dalam kumpulan itu menawarkan diri untuk menjadi jaguh.

Sebelum ini, dia lantang mengkritik dan mengutuk kapten selepas merasakan dirinya di anak tirikan. Malah, pada suatu ketika dia pernah 'membabikan' kapten kerana terlampau marah.

Bagaimanapun, wajah sebenar anak kapal yang bertopengkan 'syaitan' itu terbongkar juga akhirnya.

Perwatakannya berubah dalam sekelip mata selepas mendapat habuan yang lumayan berupa percutian ke Eropah daripada kapten. 

Lebih malang, dia secara terbuka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan persengketaan antara kapten, penolong kapten dan pegawai yang sudah berlarutan hampir 10 tahun.

Selain menjilat ludahnya sendiri, kami tidak perlukan lalang, sampah dan petualang seperti itu. 

Kalau kau rasa, kau boleh hidup dengan cara seperti itu, kau boleh teruskan tetapi jangan harap kami akan 'terpukau' dengan lakonan yang ditampilkan.

Usia The Black Pearl akan menjangkau 10 tahun pada 01 Ogos depan.

Selepas membuat pertimbangan secara rasional berdasarkan kejadian-kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini, aku membuat pengumuman bahawa The Black Pearl sudah tenggelam.

Nasib The Black Pearl sama seperti penerbangan MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi atau MH17 yang berkecai di lokasi pejuang pemisah Ukraine pro-Rusia.

The Black Pearl hanya tinggal sejarah sama seperti kapal Titanic yang tenggelam selepas melanggar aisberg di Lautan Atlantik pada tahun 1912.

Lagenda The Black Pearl akan berakhir di sini. Tidak ada sambungan meskipun mendapat permintaan dan bayaran yang tinggi.

The Black Pearl hanya mampu bertahan selama 10 tahun dan kenangan bersamanya akan kekal dalam hati aku.

Belasungkawa buat anak-anak kapal yang telah terkorban sepanjang tempoh itu dan selamat maju jaya buat mereka yang masih berpeluang untuk meneruskan kehidupan.

 The End.

14 July 2014

JERMAN JUARA PIALA DUNIA 2014




JERMAN menjadi pasukan Eropah pertama yang memenangi trofi Piala Dunia di benua Amerika Selatan selepas menewaskan Argentina 1-0 di Stadium Maracana di Rio de Janeiro, Brazil pada 14 Julai lalu.






24 March 2014

Misteri MH370

PENERBANGAN MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkembangan terbaru itu kepada pemberita sebentar tadi berkata, beliau telah dimaklumkan perkara ini oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.

Najib berkata, pakar analisis data satelit Inmarsat yang sebelum ini memberi anggaran lokasi pesawat itu di dua koridor utara dan selatan merumuskan bahawa pesawat malang itu mengakhiri perjalanannya di tengah-tengah Lautan Hindi di barat bandaraya Perth, Australia.



"Ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari mana-mana kawasan landasan.

"Dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan kepada anda  bahawa berdasarkan data baru ini, penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Dalam kenyataan ringkasnya, Najib berkata, butiran terperinci akan diumumkan pada sidang media esok.

Tambahnya, maklumat terbaru ini dikongsi awal kepada umum untuk menunjukkan komitmen pihak berkuasa Malaysia kepada keterbukaan dan atas rasa hormat terhadap anggota keluarga yang terlibat.

Najib juga memaklumkan bahawa anggota keluarga telah diberitahu mengenai perkembangan tersebut.

"Bagi mereka, beberapa minggu yang lalu amat menyayat hati. Saya faham berita ini lebih sukar diterima. Saya menyeru pihak media menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi saat-saat sukar ini," kata Najib.

Sementara itu, ahli keluarga penumpang yang terlibat telah menghadiri sesi taklimat tergempar malam ini dan rancangan sedang diatur bagi menerbangkan mereka dengan pesawat khas ke Australia, menurut Sky News.

Sumber yang dipetiknya berkata, ahli keluarga yang terlibat akan dibawa terlebih dahulu ke Beijing sebelum diterbangkan ke Australia, setelah beberapa serpihan dipercayai milik pesawat MH370 dikesan di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

01 January 2014

Happy New Year 2014

SELAMAT tinggal tahun 2013 dan selamat datang tahun 2014.

Tahun 2013 merupakan tahun yang cukup mencabar dalam karier aku. Banyak kenangan pahit dan manis berlaku sepanjang tahun tersebut. Namun, aku berjaya melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan sempurna meskipun terpaksa melalui banyak cabaran yang sukar.



Selain melaksanakan tugas hakiki, aku juga terpaksa melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya aku lakukan demi untuk menjaga periuk nasi orang lain. Aku buat kerja yang tidak setimpal dengan jawatan dan gaji yang aku peroleh setiap bulan.

Aku tidak mengharapkan balasan meskipun ada ketikanya aku terpaksa mengorbankan jiwa dan raga aku untuk menyempurnakan tanggungjawab itu.

Bagaimanapun, ibarat melepaskan anjing yang tersepit. Nasib aku sungguh malang. Bukan penghargaan yang aku dapat tetapi kecaman dan hinaan yang datang.

Itu adalah lumrah kehidupan kerana orang atasan jarang menilai kebaikan yang dilakukan orang bawahan seperti aku. Mereka lebih suka mencari kelemahan dan kesilapan bagi menyekat sumber rezeki yang sepatutnya diperoleh.

Namun, aku puas hati dengan apa yang aku lakukan. Aku tidak melakukan kesilapan. Aku tidak menghadapi masalah disiplin atau melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Aku hanya lantang menyuarakan hak aku yang dirampas individu yang tidak bertanggungjawab. Aku cuba untuk melaksanakan tugas mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Mungkin ini menjadi modal terbaik untuk mereka menidakkan pengorbanan yang telah aku lakukan sepanjang tahun lalu.

Aku dapat rasakan bahawa aku akan menjadi 'orang buangan' dan tidak mendapat tempat dalam kalangan pihak atasan.

Apa sekalipun yang bakal menimpa aku sepanjang tahun ini, aku redha. Rezeki Allah ada di mana-mana.

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...