24 March 2014

Misteri MH370

PENERBANGAN MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkembangan terbaru itu kepada pemberita sebentar tadi berkata, beliau telah dimaklumkan perkara ini oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.

Najib berkata, pakar analisis data satelit Inmarsat yang sebelum ini memberi anggaran lokasi pesawat itu di dua koridor utara dan selatan merumuskan bahawa pesawat malang itu mengakhiri perjalanannya di tengah-tengah Lautan Hindi di barat bandaraya Perth, Australia.



"Ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari mana-mana kawasan landasan.

"Dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan kepada anda  bahawa berdasarkan data baru ini, penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Dalam kenyataan ringkasnya, Najib berkata, butiran terperinci akan diumumkan pada sidang media esok.

Tambahnya, maklumat terbaru ini dikongsi awal kepada umum untuk menunjukkan komitmen pihak berkuasa Malaysia kepada keterbukaan dan atas rasa hormat terhadap anggota keluarga yang terlibat.

Najib juga memaklumkan bahawa anggota keluarga telah diberitahu mengenai perkembangan tersebut.

"Bagi mereka, beberapa minggu yang lalu amat menyayat hati. Saya faham berita ini lebih sukar diterima. Saya menyeru pihak media menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi saat-saat sukar ini," kata Najib.

Sementara itu, ahli keluarga penumpang yang terlibat telah menghadiri sesi taklimat tergempar malam ini dan rancangan sedang diatur bagi menerbangkan mereka dengan pesawat khas ke Australia, menurut Sky News.

Sumber yang dipetiknya berkata, ahli keluarga yang terlibat akan dibawa terlebih dahulu ke Beijing sebelum diterbangkan ke Australia, setelah beberapa serpihan dipercayai milik pesawat MH370 dikesan di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

No comments:

Post a Comment

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...