01 April 2010

HARI TANPA FACEBOOK

SUDAH hampir satu minggu aku tidak melayari laman web sesawang, facebook di pejabat. Semuanya gara-gara tindakan unit teknologi maklumat menyekat komputer kami daripada melayari laman web sosial itu.

Menurut pekeliling yang diedarkan, kami hanya boleh melayari laman web sosial itu pada waktu tertentu kerana pada masa itu laluan akan dibuka kepada semua pekerja. Bagaimanapun, sehingga hari ini, janji hanya tinggal janji.

Nasib baik aku bukan dalam golongan 'ketagih' untuk melayari laman web ini. Jadi aku tak kisah sangat. Ada pun tak apa, tak ada pun tak apa. Tetapi aku akui, ada sedikit kekurangan apabila terlalu lama tak menjengah laman web itu.

Aku mula 'rindu' untuk berbual dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang selama ini menjadi tempat aku berkongsi cerita.

Sekadar gambar hiasan

Aku tak tahu apa tujuan sebenar mereka menyekat kami daripada melayari laman web yang semakin popular di seluruh dunia ini. Kadang-kadang aku pelik jugak. Dalam zaman 'dunia tanpa sempadan' hari ini, masih ada orang yang berfikiran 'zaman batu'.

Katanya, keputusan melarang pekerja daripada melayari laman web itu bertujuan untuk 'menghukum' mereka yang lalai ketika membuat kerja. Katanya, pekerja yang melayari laman web ini tidak produktif dan hasil kerja mereka tidak baik. Betul ke?

Orang lain semuanya bergerak ke hadapan tetapi syarikat aku bekerja ini pelik sikit, mereka 'syok sendiri' berundur ke belakang. Dulu sebelum ada fb, kami berhubung melalui yahoo messenger tetapi hayatnya tak lama kerana ia juga menerima nasib yang sama seperti fb.

Mungkin pihak atasan mahu semua pekerja memberi tumpuan pada kerja masing-masing atau menjadi seperti 'katak di bawah tempurung'. Entahlah. Tapi apa yang pasti, aku merasakan tindakan ini hanya sia-sia kerana lepas ini mungkin ada saluran baru untuk pekerja bersosial.

Manusia semakin bijak. Lepas ini entah apa laman web sosial yang akan muncul. Tunggu dan lihat.  
                                                                                                                                                                                    

23 March 2010

TERIMA KASIH I-LING, SHAMSIAH

AKU rasa cukup terharu apabila menerima satu bungkusan yang dikirimkan oleh sahabat lama aku, Lew I-Ling dan Noor Shamsiah baru-baru ini.

Aku tak sangka, mereka masih mengingati aku selepas lebih dua bulan aku meninggalkan Terengganu. Mereka sanggup mengirim sehelai baju T yang ditempah khas untuk pasukan badminton yang pernah aku sertai suatu masa lalu.

Meskipun ia hanya sehelai baju T, aku menganggap pemberian itu sebagai satu 'hadiah' yang cukup berharga buat diri aku. Akhirnya, cita-cita kami untuk membuat 'jersi' bagi pasukan badminton yang rata-rata dianggota oleh pengamal media tercapai juga meskipun tanpa bantuan daripada mana-mana pihak termasuk kelab media Terengganu.

Sejak aku bertugas di sana lagi, kami sudah merancang untuk menempah 'jersi' pasukan badminton kami. Bagaimanapun, kekangan kewangan dan komitmen menyebabkan usaha itu tertangguh sehinggalah aku meninggalkan negeri Pantai Timur itu.

Tapi kini, impian itu telah terlaksana dan aku berharap rakan-rakan aku akan lebih bersemangat untuk turun berlatih, sekali gus bersedia untuk menyahut cabaran pasukan lawan yang tidak putus-putus berhasrat untuk menguji kekuatan pasukan kami.

I-Ling (dua dari kanan) dan Noor Shamsiah (dua dari kiri)

Di ruang yang sempit ini, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada dua rakan aku yang bernama, I-Ling dan Shamsiah. Kedua-dua mereka cukup komitmen untuk mengerakkan aktiviti rakan-rakan media di sana. Meskipun bertugas tanpa 'elaun' mereka tetap bersemangat untuk merancang dan menjayakan pelbagai aktiviti termasuk 'amal jariah' dan kesukanan.

Setiap hari ada sahaja aktiviti yang dilakukan untuk membolehkan kami berkumpul dan melakukan perkara-perkara yang berfaedah.

Jersi pasukan badminton media Terengganu

Terus terang aku katakan, tanpa kedua-dua rakan ini, kehidupan aku selama setahun di Terengganu pasti membosankan.

Insyaalah, jika panjang umur, dimurah rezeki, suatu hari nanti kita akan bermain badminton dan futsal bersama seperti yang pernah kita lakukan suatu hari dulu.

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...