Aku tak sangka, mereka masih mengingati aku selepas lebih dua bulan aku meninggalkan Terengganu. Mereka sanggup mengirim sehelai baju T yang ditempah khas untuk pasukan badminton yang pernah aku sertai suatu masa lalu.
Meskipun ia hanya sehelai baju T, aku menganggap pemberian itu sebagai satu 'hadiah' yang cukup berharga buat diri aku. Akhirnya, cita-cita kami untuk membuat 'jersi' bagi pasukan badminton yang rata-rata dianggota oleh pengamal media tercapai juga meskipun tanpa bantuan daripada mana-mana pihak termasuk kelab media Terengganu.
Sejak aku bertugas di sana lagi, kami sudah merancang untuk menempah 'jersi' pasukan badminton kami. Bagaimanapun, kekangan kewangan dan komitmen menyebabkan usaha itu tertangguh sehinggalah aku meninggalkan negeri Pantai Timur itu.
Tapi kini, impian itu telah terlaksana dan aku berharap rakan-rakan aku akan lebih bersemangat untuk turun berlatih, sekali gus bersedia untuk menyahut cabaran pasukan lawan yang tidak putus-putus berhasrat untuk menguji kekuatan pasukan kami.
I-Ling (dua dari kanan) dan Noor Shamsiah (dua dari kiri)
Di ruang yang sempit ini, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada dua rakan aku yang bernama, I-Ling dan Shamsiah. Kedua-dua mereka cukup komitmen untuk mengerakkan aktiviti rakan-rakan media di sana. Meskipun bertugas tanpa 'elaun' mereka tetap bersemangat untuk merancang dan menjayakan pelbagai aktiviti termasuk 'amal jariah' dan kesukanan.
Setiap hari ada sahaja aktiviti yang dilakukan untuk membolehkan kami berkumpul dan melakukan perkara-perkara yang berfaedah.
Jersi pasukan badminton media Terengganu
Terus terang aku katakan, tanpa kedua-dua rakan ini, kehidupan aku selama setahun di Terengganu pasti membosankan.
Insyaalah, jika panjang umur, dimurah rezeki, suatu hari nanti kita akan bermain badminton dan futsal bersama seperti yang pernah kita lakukan suatu hari dulu.
No comments:
Post a Comment