ENAM tahun lalu, ada sebuah kapal lanun yang aktif menjalankan aktiviti harian mereka di samudera yang luas, dikenali sebagai The Black Pearl.
Kapal yang menjadi rebutan antara Kapten Jack Sparrow dan Kapten Barbossa dalam filem Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl
Ketika itu, kapal ini dikemudi seorang kapten yang lantang dan berkarisma iaitu Jack Sparrow sambil dibantu penolong kapten, Barbossa dan beberapa anak kapal yang teruja untuk menjalankan tugas masing-masing.
Meskipun baru beroperasi, kapal ini cukup digeruni pesaing dan pencabar mereka. Namun beberapa tahun kemudian, kapten Jack Sparro telah diserang sakit jantung dan terpaksa melepaskan tugas itu kepada penolongnya, Barbossa.
Oleh kerana, anak-anak kapal masih baru dan belum begitu mahir untuk mengendalikan kapal tersebut, pihak atasan telah melantik orang luar untuk menjadi penolong kepada kapten Barbossa. Pada masa yang sama, salah seorang daripada anak kapal turut dilantik menjadi pegawai atasan untuk membantu meringankan beban kedua-dua pemimpin itu.
The Pirate Ship
Pada mulanya hubungan kapten Barbossa dan penolongnya agak baik meskipun ada perbezaan pendapat yang ketara. Namun tidak beberapa lama kemudian, ‘permusuhan’ antara kapten Barbossa dan penolongnya menjadi semakin ketara dan tidak lagi dapat dikawal kerana masing-masing ada pendapat dan pendirian yang tersendiri.
Pihak atasan dapat menghidu masalah itu dan satu-satunya jalan terbaik untuk menyelamatkan kapal tersebut adalah dengan menyingkirkan penolong kapten itu. Sebagai gantinya, pegawai atasan kapal tersebut telah dinaikkan pangkat untuk menjadi penolong kepada kapten Barbossa dan seorang anak kapal lagi dilantik menjadi pegawai atasan.
Ternyata, pelantikan ini memberi impak yang besar apabila kapal tersebut kembali digeruni pencabar mereka. Dalam tempoh tersebut, beberapa anak kapal saling bertukar ganti, sama ada berhenti atau ditukarkan ke kapal lain. Begitupun, langit tidak selalunya cerah. Kapten Barbossa, penolong kapten dan pegawai atasan tersebut mula tidak sehaluan, sekali gus menyebabkan kapal tersebut kembali bergolak.
Penolong kapten dan pegawai atasan tersebut menuduh kapten Barbossa tidak menjalankan tugas dengan baik dan seringkali menjadikan mereka sebagai mangsa untuk melepaskan diri sendiri. Ekoran daripada kejadian itu, pegawai atasan tersebut telah merajuk dan membawa diri dengan meninggalkan kapal itu manakala penolong kapten masih berada di kapal itu meskipun tidak sehaluan dengan kapten Barbossa.
Untuk mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan pegawai atasan tersebut, pihak atasan telah memanggil pulang salah seorang anak kapal yang sebelum ini menjadi mangsa konspirasi dan dihalau dari kapal itu setahun yang lalu.
Malangnya, kepulangan anak kapal itu tidak kena pada masanya. Dia pulang ketika kapten Barbossa dan penolong kapten dilanda perang ‘dingin’ yang menenggelamkan misi dan visi kapal tersebut. Selain keliru dengan bidang tugasnya, pegawai tersebut juga tidak tahu siapa yang perlu diikutnya - kapten Barbossa atau penolong kapten yang juga sahabat baiknya.
Selepas beberapa bulan berada di atas kapal tersebut, pegawai kapal itu masih lagi ‘blur’ dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Ditambah pula dengan sikap anak-anak kapal yang tidak tahu bidang tugas masing-masing. Kapal itu sudah tidak ada hala tuju dan masing-masing mementingkan serta berusaha menyelamatkan diri sendiri.