GARA-GARA seekor nyamuk aedes, aku terpaksa menghabiskan cuti umum Hari Buruh 2010 di wad Hospital Pakar Seremban (KPJ). Pakej percutian 3 hari 2 malam itu adalah sesuatu yang tidak pernah aku rancang.
Tetapi apakan daya, Allah lebih mengetahui dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu. Begitupun, aku masih bersyukur kerana demam denggi yang menyerang aku ini tidak begitu serius.
Kalau diberi pilihan, aku tidak mungkin memilih untuk ‘menikmati’ percutian yang menyakitkan ini. Selain suhu badan yang sentiasa berubah (sekejap sejuk dan sekejap panas), kepala rasa pening, loya (ingin muntah) dan seluruh anggota badan serta sendi-sendi terasa sakit yang amat sangat.
Adakah nyamuk aedes ini yang menghisap darah aku?
Tak pasal-pasal Jabatan Kesihatan menghantar anggota 'Ghost Busters' untuk mengesan dan menghapuskan jentik-jentik serta nyamuk aedes di kawasan perumahan aku.
Semalam, aku terlepas dua perkara penting untuk disaksikan. Yang pertamanya, semalam merupakan hari pertama kedua-dua puteri aku mengikuti latihan renang di Seremban 2.
Selepas beberapa tahun mereka ‘memujuk’ aku untuk menghantarnya mengikuti sesi latihan renang, akhirnya aku memenuhi permintaan mereka selepas berjumpa dengan sebuah kelab renang yang tidak kurang hebatnya. Apa sekali pun, aku berpuas hati kerana kedua-dua puteri aku gembira dan teruja untuk mengikuti sesi latihan renang itu.
Yang keduanya, semalam juga merupakan hari Alumni wife aku bersama pensyarah dan member-member semasa belajar di German-Malaysian Institut (GMI) lalu. Dia terpaksa menghadiri makan malam yang di adakan di Restoran Tupai-Tupai, Kuala Lumpur itu seorang diri. Kesian….
Bagaimanapun, apa yang menarik, ini adalah kali kedua aku memenangi ‘pakej percutian 3 hari 2 malam’ di hospital yang sama dalam tempoh lima bulan tahun ini. Awal bulan Mac lalu, aku menjalani pembedahan kecil di muka untuk membuang bisul yang tumbuh secara tiba-tiba.
Sedikit sebanyak, kedua-dua penyakit ini telah menjejaskan reputasi aku sebagai seorang pekerja yang jarang mengambil MC. Tahun lalu (sepanjang setahun bertugas di Terengganu) aku tidak pernah mengambil MC meskipun kadang-kala mengalami demam dan migrain.
Tetapi, baru lima bulan aku kembali bertugas di KL, sudah dua aku kali ambil MC dan dimasukkan ke wad. Begitupun, ini bukan kehendak aku. Kesabaran aku diuji dan mungkin ujian ini ada hikmahnya. Insyaalah.
No comments:
Post a Comment