19 January 2011

Basikal oh Basikal


SELEPAS dua tahun ‘menjual basikal’ aku diberi peluang untuk membuat penampilan semula pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Perlumbaan yang berstatus dua hors (2.HC) yang akan berlangsung selama 10 hari ini bakal membuka tirainya di Pulau Langkawi, Ahad ini.

Secara jujurnya, minat dan semangat aku untuk membuat liputan pada perlumbaan paling berprestij di benua Asia ini semakin menurun sejak akhir-akhir ini. Keterujaan aku juga sudah luntur.

Aku tak tahu apa puncanya. Tetapi yang pastinya, aku sudah lama tidak menulis mengenai ‘basikal’. Selain itu, aku juga sudah lama tidak turun padang untuk bertemu pelumba dan pegawai.


Mengimbas kembali pembabitan aku dalam sukan lumba basikal, aku mula berjinak-jinak pada tahun 2007.

Ketika itu, aku telah diberi tugas untuk membuat liputan Jelajah Malaysia 2007. Pada tahun yang sama juga aku diberi amanah untuk mengikuti LTdL.

Setahun kemudian, aku sekali lagi diberi tanggungjawab untuk membuat liputan pada kedua-dua perlumbaan tersebut (Jelajah Malaysia dan LTdL 2008).

Bagaimanapun, impian aku untuk membuat hatrik tidak menjadi kenyataan selepas aku ‘dipaksa’ berpindah ke Terengganu pada tahun 2009.

Sejak itu, minat aku untuk ‘menunggang basikal’ tiba-tiba hilang meskipun aku masih mengekalkan hubungan yang baik dengan pegawai dan pelumba negara.

Atas dasar minat, aku cuba memberi ‘publisiti’ kepada pasukan lumba basikal Terengganu.

Aku mula berbaik-baik dengan presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), Datuk Ahmad Sidi Ismail, jurulatih, bekas jurulatih dan para pelumba muda di negeri itu.

Sekali lagi, ‘jodoh’ aku bersama mereka tidak panjang apabila aku dipanggil pulang ke Kuala Lumpur.

Sebaik berada di Kuala Lumpur, aku mula menghubungi semula rakan-rakan lama termasuk Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab, Naib PKBM, Datuk Naim Mohamad, pengurus pasukan LeTua Cycling Team (L2A), Shukor Yassin dan lain-lain yang tidak dapat disebutkan namanya.

Mungkin sudah lama meninggalkan ‘tugasan’ ini, aku tidak berkesempatan untuk mengikuti LTdL dan Jelajah Malaysia 2010. Mungkin ada yang lebih baik daripada aku. ‘Aiman’ tak kisah....

Apabila aku diarahkan untuk membuat liputan pada edisi ke-16 tahun ini, aku berasa sedikit terkejut. Bimbang aku tidak dapat memberikan yang terbaik.

Ini kerana, aku sudah lama tidak membuat ‘ulangkaji’ dan mengikuti perkembangan mengenai sukan lumba basikal di negara ini. Selain itu, aku juga tidak berkesempatan untuk ‘turun padang’.

Namun, aku berjanji akan melakukan yang terbaik kerana ini adalah tanggungjawab dan tugasan yang telah diamanahkan. Meskipun serba kekuangan, aku yakin mampu melakukannya.

No comments:

Post a Comment

Sisi Tersembunyi Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

“SEUMUR hidup saya, saya tidak pernah berasa susah seperti ini.” Kata-kata ini masih segar dalam ingatan saya meskipun sudah lebih tiga t...