“SAYA kenal pemain-pemain saya.”
Itulah kata-kata 'keramat' yang keluar daripada mulut Rajagobal untuk mematahkan segala teguran dan kritikan yang dilemparkan kepadanya.
Malang sekali, pemain-pemain yang dikenalinya itu tidak mampu untuk menterjemahkan kejayaan seperti mana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.
Kekecewaan dan kesedihan masih dirasai meskipun sudah beberapa hari Harimau Malaya gagal mempertahankan gelaran juara Piala Suzuki AFF 2012.
Banyak pihak cuba 'menangguk di air yang keruh' sambil mengambil kesempatan untuk memberi kritikan dan andaian masing-masing disebalik kekelahan itu.
Bagi ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, kegagalan itu berpunca daripada pengadil perlawanan, Lee Minhu dari Korea Selatan.
Lee Minhu dituduh tidak profesional kerana membuat keputusan berat sebelah' sepanjang perlawanan yang berkesudahan Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai pada 13 Disember lalu.
Menurut Rajagobal, keputusan Lee Minhu melayangkan kad merah kepada Mohamad Fadhli Shas telah menjejaskan corak permainan para pemain negara.
Selain itu, Rajagobal turut menyalahkan Thailand kerana menyediakan padang latihan yang tidak menepati spesifikasi beberapa hari sebelum perlawanan berlangsung.
Situasi tersebut menghalang beliau untuk membuat latihan taktikal dan merancang strategi ampuh bagi menghadapi perlawanan penting itu.
Bagaimanapun, itu semua adalah alasan Rajagobal semata-mata bagi 'menutup' kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukannya.
Alasan itu tidak dapat memuaskan hati banyak pihak kerana ramai pemerhati, peminat dan rakyat Malaysia merasakan kekalahan itu berpunca daripada kesilapan Rajagobal sendiri.
Lantaran itu, Rajagobal perlu bertanggungjawab dan beliau didesak untuk meletak jawatan. Itu adalah jalan terbaik...
Rajagobal melakukan banyak kesilapan. Sebelum kejohanan bermula lagi, beliau sudah melukakan hati rakyat Malaysia.
Beliau enggan menerima kritikan dan bersikap ego meskipun skuad negara kalah dalam beberapa siri perlawanan persahabatan.
Selain pemilihan pemain yang tidak tepat, strategi beliau juga tidak sesuai dengan corak permainan yang ditampilkan.
Setiap tahun, kempen Liga Premier dan Liga Super menjadi pentas utama buat para pemain negara untuk mempamerkan bakat masing-masing.
Sebaiknya, beliau memilih pemain yang betul-betul berada pada prestasi terbaik untuk menyarung jersi Harimau Malaya. Umur tidak boleh dijadikan syarat.
Indonesia dan Singapura tampil dengan beberapa pemain veteran yang sudah sampai 'ke penghujung karier' tetapi masih mampu untuk beraksi dengan baik.
Jadi, sudah sampai masanya Rajagobal meletak jawatan. Tidak perlu tunggu kempen kelayakan Piala Asia 2015. Rata-rata penyokong Harimau Malaysia tidak mahu kecewa lagi.
Rajagobal sudah ketandusan idea. Apa yang ada cuma perasaan ego dan syok sendiri.
Kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010 bukan satu jaminan untuk beliau terus membimbing Harimau Malaya.
Rekod kejayaan lalu tidak boleh menjadi sandaran dan ia bukan satu jaminan untuk beliau terus berkuasa.
Jadi, Rajagobal tidak kebal. Beliau bukan seperti Raja-Raja Melayu yang ada daulat. Tidak menderhaka sekiranya rakyat Malaysia mendesak beliau meletak jawatan untuk kebaikan semua orang.